Mohd Zaidi Bawa Dialog Filem Tiga Abdul Gambarkan Suasana Pasca PRU

KUALA LUMPUR, 9 Jun – “Wowww..,berniaga orang lagi untung daripada berniaga unta…” Ini adalah antara dialog di dalam filem Tiga Abdul lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang dibangkitkan oleh Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain ketika mengimbau pelbagai peristiwa yang berlaku pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan 15.

Menurut beliau pasca PRU lalu terdapat juga cubaan ataupun usaha sepertimana yang berlaku selepas PRU ke-14 sehingga berlakunya pertukaran perdana menteri beberapa kali.

“Namun kebijaksanaan pemimpin utama parti terserlah apabila tidak lagi berlaku peristiwa selepas PRU-14 kerana terhalang disebabkan adanya Akuan Bersumpah dan ini menggambarkan kebijaksanaan pimpinan parti mengekang perkara sama terus berulang.

“Presiden dan kepimpinan telah menyusun langkah dan tidak terburu-buru…walaupun mengambil keputusan bersama Kerajaan Perpaduan, tetapi prisip perjuangan UMNO tetap dipertahan walaupun ada tanggapan yang dibuat oleh kepimpinan perubahan drastik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai pencadang usul ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2023, di sini hari ini.

Mohd Zaidi seterusnya menambah UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) dan rakan gabungan lain.

Namun kata beliau tindakan berkenaan seolah-olah UMNO bekerjasama dengan Dap sepertimana yang ditohmah oleh pihak lawan dalam usaha mengelirukan hakikat sebenarnya.

“Kita bersama dengan Kerajaan Perpaduan menerusi PH… kenapa apabila tiba masa kita bekerjasama tidak boleh…inilah yang presiden sebutkan mengkarung politik. Sewajarnya inilah kepimpinan yang mempunyai kebijaksanaan…bukankah dengan 30 kerusi di Parlimen, parti boleh menjadi pemain utama dalam kerajaan hari ini,” tambahnya.

Beliau seterusnya menambah dinamika politik hari ini telah memperlihatkan bagaimana parti mengambil langkah yang sewajarnya.

“Kerjasama bersama parti bukan Melayu bukan perkara pelik dan baharu…parti Gerakan ada dalam PN (Perikatan Nasional), MCA ada dalam BN dan begitu juga MIC ada dalam BN manakala Dap dalam PH.

“Apa yang penting dan utama kita mesti mempunyai jati diri dan tidak salah untuk berkawan dengan mana-mana parti bukan Melayu asalkan akar tunjangnya tidak berubah,” ujarnya. – UMNO Online

#NegaraBangsaPAU2023

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.