Ketepikan Kepentingan Politik, Utamakan Kesejahteraan Rakyat – Perwakilan

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Bendahari Pergerakan Puteri UMNO Pahang, Nur Hazirah Zahaludin berpandangan kerajaan ini merupakan satu kerajaan yang menggabungkan wakil dari pelbagai politik menuntut parti dan semua pemimpin untuk mengetepikan kepentingan politik dan parti masing-masing demi kepentingan rakyat dan negara.

Menurutnya ini adalah demi untuk mewujudkan sebuah negara yang kuat, sejahtera dan makmur serta stabil.

“Kita perlu menghentikan segala suara ketidakpuasan hati memandangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan ini juga merupakan titah Seri Paduka Baginda. Sekiranya langkah pembentukan tidak diambil kira negara berkemungkinan hingga kini masih lagi dalam kemelut politik dan tidak mempunyai kerajaan.

“Hanya dengan kerajaan yang stabil ekonomi Malaysia boleh bertambah maju dan rakyat sedang menilai. Kita perlu bijak dalam segala tindakan, ketepikan agenda peribadi dan perbezaan idealogi politik, paling utama kesejahteraan rakyat.

“Beradaptasi adalah kata yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi yang sedang berlaku kini iaitu bekerjasama dengan gabungan parti politik yang suatu ketika dahulu pernah menjadi seteru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan usul ucapan dasar Ketua Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung Pergerakan itu, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, semalam.

Bagi Nadhirah Afiqah Abdul Rahim yang juga Ecxo Pergerakan Puteri UMNO mencadangkan agar Kementerian Pendidikan melihat tenaga pengajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Tenaga pengajar teknikal merupakan individu terpenting di institusi TVET kerana mereka yang perlu responsif kepada sebarang bentuk perubahan yang berlaku di industri bagi melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi dan bersesuaian dengan kehendak terkini dan masa depan negara.

“Kita perlu sedar pembangunan dan kemajuan negara masa kini tidak lagi bergantung semata-mata kepada modal insan berpengetahuan tinggi tetapi juga kepada yang berkemahiran tinggi. Kelayakan pendidikan yang tinggi bagi menyokong pembangunan pengetahuan dan inovasi,” jelas beliau.

Sementara itu bagi Naib Ketua Pergerakan Puteri Wilayah Persekutuan, Nurul Ashikin Mohamad Rafi mendesak agar peranan Kementerian Wilayah Persekutuan dikembalikan semula.

 

“Saya pasti sepatutnya kerajaan telah mengkaji sebelum pemansuhan dibuat. Bukan hanya nak menjimatkan hingga nasib warga Wilayah Persekutuan tiada terbela kerajaan.

“Justeru meminta agar beberapa program dilaksanakan bagi menjamin pertumbuhan ekonomi dan penyelesaian pengangguran anak muda di Wilayah Persekutuan khususnya diberi perhatian,” katanya lagi.

Tambahnya kini Wilayah Persekutuan hanya diurus oleh struktur kuasa sebuah jabatan yang dulu strukturnya kuasanya agak besar iaitu sebuah kementerian dan penstrukturan ini telah memberi kesan kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.