Wanita UMNO Komited Lakukan Agenda Pembaharuan Gerak Kerja Hadapi PRN – Noraini

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Wanita UMNO telah mula menggerakkan beberapa agenda pembaharuan penting dalam gerak kerjanya terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Berucap di hadapan 1,170 orang perwakilan, Ketuanya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, perkara pertama adalah iltizam Wanita untuk memodenkan Jalinan Rakyat (JR) telah dimulakan dengan perlaksanaan bengkel penambahbaikan gerak kerja baru-baru ini.

“Kedua, pengupayaan Skuad Sayang sebagai gerakan amal bakti yang setara dengan agensi kesukarelawanan lain sedang diusahakan. Ketiga, bagi menyerlahkan potensi golongan wanita profesional dan memberi ruang untuk mereka menyumbang mengikut kebitaraan masing-masing, Sekretariat Wanita Profesional diteruskan dan ditambahbaik pengisiannya.

“Keempat, bagi menguasai media digital agar menjadi lebih ‘visible’, ‘relevant’ dan ‘prominent’, Wanita telah menubuhkan sekretariat Penerangan, Media dan Digital (PMD) agar Wanita UMNO mempunyai pempengaruh media sosial di pelbagai saluran digital,” ujarnya dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO di Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Datuk Seri Ahmad Maslan dan; Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Naib Ketua Wanita Datuk Norliza Abdul Rahim.

Seterusnya tambah Noraini, perkara kelima adalah berkaitan data JR yang merupakan pangkalan data yang sangat besar dan komprehensif.

“Data daripada JR merupakan pangkalan data yang sangat besar dan komprehensif. Wanita akan menerapkan penggunaan teknologi ‘Big Data Analytics’ sesuai dengan peredaran zaman.

“Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan pusat data, network dan analisis, atau singkatannya ‘DNA Center’,” katanya.

Jelasnya lagi, DNA Center ini akan berfungsi sebagai satu pusat data sehenti milik Wanita yang akan melengkapkan parti dengan analisis dinamik dan multidimensi berkenaan lima maklumat utama.

“Pertama, maklumat bilangan ahli dan jentera parti terkini. Kedua, maklumat kesiapsiagaan jentera berdasarkan portfolio. Ketiga, data pengundi terkini berdasarkan profail dan lokaliti.

“Keempat, kecenderungan pengundi yang diukur melalui kajiselidik dengan pensampelan yang saintifik dan empirical dan kelima, tren dan wacana politik berdasarkan isu dan polisi, diraih melalui data lapangan diintegrasikan dengan data points dari media sosial,” ujarnya.

Sehubungan itu juga katanya hasil analisis data yang bersifat dinamik itu bukan hanya sekadar untuk mengukur tahap sokongan tetapi juga untuk merencana strategi, menyusun mesej dan melaksanakan program yang benar-benar memberi impak yang semaksima mungkin. – UMNO ONLINE


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit