Kedudukan Realiti Semasa UMNO Tidak Membataskan Peranan Jaga Islam dan Melayu

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Pencadang Usul Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO, Mazlina Mohamed mengajak ahli parti untuk bermuhasabah menerima realiti dengan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan yang hanya memiliki 26 kerusi Parlimen.

Katanya, meskipun keberadaan UMNO pada situasi yang mempunyai limitasi namun ianya tidak akan membataskan peranan parti keramat ini dalam menjaga kepentingan Islam dan Melayu.

“Ukur lah baju di badan sendiri, UMNO kini dalam keterbatasan memenuhi tuntutan rakyat dan ahli parti. Sebagai ahli dan orang parti, fasa dominasi UMNO sudah berakhir dan kita perlu belajar menerima realiti politik hari ini.

“Wanita UMNO menginsafi akan keberadaan kita semua dengan hanya tinggal 26 kerusi membataskan laras kuasa UMNO, sebagai parti yang tidak lagi dominan maka kita akur akan keperluan menghormati perjanjian dengan Kerajaan Perpaduan.

“Namun kita tetap teguh sebagai penjaga dan pemelihara kepada kepentingan Melayu Islam sebagai teras pembinaan negara ini,” katanya pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pagi tadi.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Indera Mahkota, berkata kemerosotan prestasi UMNO ini perlu dilihat dengan penuh rasa keinsafan dan mengajak ahli parti untuk menempuhi cabaran besar secara bersama.

Jelas beliau, kuncinya adalah belajar dari kesilapan dan tidak perlu untuk menuding jari menyalahkan mana-mana pihak.

“Saya teringat akan kata kata Jack Ma seorang yang yang berpengaruh di dunia if you want to be succesfull , learn from other people mistake, don’t learn from succesfull stories. when this mistake come, you know how to deal with it.

“Maknanya apa ? Maknanya apa yang boleh kita simpulkan kita tidak perlu menuding jari mencari siapa yang melakukan kesilapan tetapi kita perlu belajar dari kesilapan.

“Mengambil iktibar dari sikap tidak serius memenangi hati pengundi muda 18 , maka bagaimana caranya supaya kita tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama di Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Negeri akan datang,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berkenaan pengundi muda Mazlina berkata sifat keibuan Wanita UMNO dalam keluarga adalah senjata terhebat dan perlu dimanfaatkan melalui kaedah komunikasi persuasif.

“Apatah lagi dengan pengenalan undi 18, anak anak perlu diberikan doktrinasi seawal usia remaja.

“Jika Pas mengrekrut beribu-ribu kader-kader mereka seawal tahun 1980-an melalui PASTI, UMNO sudah tentu boleh merangka perancangan doktrinasi pendidikan awal yang lebih efisyen atau penambahbaikan tadika sedia,” ujar beliau. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit