Isu Pemilikan Rumah Dan Pendidikan Anak Muda Fokus Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO memberi fokus kepada dua isu besar yang melingkari golongan muda pada hari ini iaitu mengenai pemilikan rumah dan juga pendidikan.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata bagi isu pemilikan rumah, sebuah Jawatankuasa Khas Perumahan Orang Muda di bawah sayap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan ditubuhkan bagi menuntut inisiatif yang segar dan lebih baik.

Katanya, memetik statistik Bancian 2020 menunjukkan pemilikan rumah bagi kalangan belia bawah 40 tahun hanya mencecah 44% yang bererti terdapat 56% masih lagi tidak mampu memiliki rumah.

“Dahulu, di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau telah memperkenalkan polisi dan dasar perumahan kerajaan di bawah nama Skim Rumah Pertamaku (SRP). Skim Rumah Pertamaku ini menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus dan menjadi satu-satunya skim yang membantu rakyat Malaysia untuk mendapatkan pinjaman sehingga 110%.

“Idea dan jasa Datuk Seri Najib Razak ini telah membantu ramai rakyat terutamanya golongan belia. Dari 90 ribu permohonan yang diluluskan, 90% telah diberikan kepada golongan B40 dan belia,” ujarnya dalam Ucapan Dasar Ketua Pemuda di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, wakil-wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Ketua Menteri Melaka.

Dalam majlis tersebut, Pemuda UMNO turut menobatkan Najib yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO dengan Anugerah Tokoh Pemuda yang disampaikan oleh Dr Akmal kepada anak beliau Datuk Mohamad Nizar Najib dan Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Jasin itu lagi, selain isu pemilikan rumah, anak-anak muda yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) turut dibelenggu dengan kos sewaan rumah yang semakin tinggi.

“Pemuda ingin mencadangkan agar diwujudkan elaun sewaan rumah atau mengkaji pelaksanaan penetapan harga siling sewa rumah bagi menampung kadar sewaan rumah mengikut lokaliti kampus masing-masing.

“Bagi menjayakan cadangan ini, Pemuda mengajak libat urus bersama-sama pemegang taruh seperti wakil belia, pemaju, institusi perbankan dan agensi-agensi kerajaan dan swasta.

“Saya percaya perkara ini boleh dilaksanakan dengan kajian yang mendalam. Hal ini telah dilaksanakan di Australia, Jerman, New Zealand, dan Perancis. Pemuda UMNO Malaysia akan meneliti isu pemilikan rumah belia secara serius,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.

Seterusnya mengenai isu Pendidikan pula, Dr Akmal menyeru setiap ahli Pemuda UMNO sekurang-kurangnya memperolehi diploma.

“Melalui inisiatif Pemuda Berilmu, kita akan wajibkan setiap Ketua Pemuda UMNO Bahagian untuk mendapatkan sekurang-kurangnya pendidikan bertaraf diploma. Pemuda UMNO Malaysia akan menjadi pemudahcara kepada manamana ahli Pemuda yang berminat untuk menyambung pelajaran mereka.

“Pemuda UMNO Malaysia akan menjalinkan kerjasama dengan IPT di Malaysia, baik swasta mahupun kerajaan, dan akan berhubung dengan agensi-agensi yang berkaitan, bagi urusan pinjaman atau biasiswa,” katanya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Dr Akmal menyambut baik seruan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan yang mahukan Pemuda menggerakkan Kongres Melayu bagi menghasilkan ‘blueprint’ atau Rangka Tindakan Melayu Maju.

“Menerusi kongres ini, kita akan menghimpunkan segenap lapisan pemikir-pemikir terbaik bangsa, dari para cendekiawan, teknokrat, tokoh korporat, professional, wakil-wakil rakyat, penggerak komuniti dan pertubuhan-pertubuhan belia.

“Segala isu yang melingkari hal ehwal orang Melayu, dari sudut ekonomi, pendidikan, perumahan, pekerjaan, polisi dan dasar, akan kita rangkumkan di dalam ‘Blueprint’ Melayu Maju ini,” jelasnya. – UMNO ONLINE


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit