Aspirasi Rumah Kita, Cara Kita Perlu Dijayakan Bersama – Imran

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Aspirasi ‘rumah kita cara kita’ perlu dijayakan secara bersama oleh seluruh kepimpinan dan ahli Pemuda UMNO dalam usaha meletakkan institusi Pemuda sebagai pembawa obor perjuangan terus berada pada tempatnya.

Penyokong Usul Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Mohd Imran Tamrin menegaskan perkara berkenaan harus melihat dan berpaksikan kepada realiti politik semasa hari ini yang begitu dinamik dan memerlukan kombinasi kesatuan secara menyeluruh.

Menurut beliau untuk menjayakan resepi berkenaan masing-masing perlu berani selain turut mempunyai ciri-ciri ketaatan dan kesetiaan agar apa yang dihasratkan dan apa yang digariskan dapat direalisasikan sebaiknya.

“Kepimpinan baharu Pemuda di seluruh negara harus melihat dinamik politik semasa yang secara langsung atau tidak langsung turut memberi kesan kepada Pemuda atau sebaliknya. Sebagai pemuda dalam tempoh penggal lepas, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah terapkan kepimpinan dengan Pemuda bangkit untuk terus bergerak ke depan.

“Jadi dalam keadaan pilitik dinamik yang tidak menentu termasuklah dengan tiga perdana menteri sebelum ini, maka kita harus lihat pemboleh ubah sebagai panduan dalam usaha gerak kerja kita ke depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyokong Usul Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi ketiga-tiga faktor yang diungkapkan tadi perlu dilihat dalam bentuk tindakan kerana jika sebaliknya tidak akan bergerak ke mana dan hanya sekadar berdiri di tempat yang sama.

“Keberanian dan ketaatan boleh dilihat dalam tindakan… Pemuda mesti berani berkata benar dan berani berdepan dalam situasi semasa dan dinyatakan dalam bentuk tindakan. Perkara ini tidak mudah tetapi kita membina generasi baharu… kita mesti berani menyatakan kebenaran walaupun ianya pahit dan keneranian inilah yang akan menjadikan ianya semangat.

“Kalau kita gagal garap segala kekuatan yang ada tidak ada maknanya untuk kita persiapkan rumah kita… kerja ini adalah bersama dan bukan bersendirian. Apa pun kita perlu jaga institusi parti… intitusi presiden… ketua pemuda serta seluruh jentera yang ada. Kita tidak boleh ulangi apa yang berlaku dalam tempoh yang lepas dan jadikanlah iktibar kepada semua,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.