Ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO

Ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Tahun 2023

YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO


Para perwakilan yang saya hormati,

1. Marilah kita melafazkan rasa syukur yang tulus dan mendalam, kepada Allah SWT, kerana mengizinkan keberlangsungan pertemuan kita, pada malam yang bermakna ini.

2. Semoga perhimpunan kita ini, mendapat keberkatan, demi perjuangan kita untuk agama, bangsa dan tanahair.

3. Malam ini, saya mohon kita membelakangkan segala perbezaan. Mengenepikan segala emosi, dan memperbaharui setiakawan kita demi UMNO. Demi Malaysia. Demi bangsa Melayu.

4. Ketepikan segala apa jua kemarahan, dendam, luka dan nestapa.

5. Akhirnya, di mana ada manfaatnya, semua kemarahan, kebencian dan perbezaan tersebut untuk bangsa dan parti?

6. Jangan musnahkan UMNO dengan amarah, dan dendam kesumat kita, hanya kerana cita-cita peribadi kita terkandas.

7. Segala sindir menyindir di media umum wajar dihentikan. Perbuatan ini tidak ubah seperti menepuk air ke dulang, terpercik ke muka sendiri.

8. Jika ada kritikan, meskipun ianya bernas, salurkan melalui medium dalaman. Masalah parti, kita selesaikan dengan cara parti.

9. Masakan kita ingin terus menelanjangkan UMNO, setelah begitu dahsyat hukuman terhadap UMNO dalam dua PRU lepas.

10. Telah tiba masanya kita bergerak seiring ke hadapan, untuk membangunkan semula parti ini. Apatah lagi, di kala ia sedang pulih daripada kecederaan yang sangat parah sebelum ini.

Para perwakilan sekalian,

11. UMNO berhadapan dengan tiga cabaran penting untuk beberapa tahun mendatang.

12. Pertama, keberkesanannya sebagai sebahagian daripada Kerajaan.

13. Kedua, bagaimana ia akan mengurus kerjasama politiknya, pasca penubuhan Kerajaan Perpaduan.

14. Dan ketiga, bagaimana untuk mengembalikan semula pengaruhnya, sebagai parti politik Melayu yang paling dominan.

15. Izinkan saya mengulas yang pertama dahulu. Mengapa UMNO harus menjayakan Kerajaan Perpaduan yang ia anggotai sekarang? Dan menjayakan ia dengan berkesan, insyallah.

16. Saya merasakan kejelasan dalam perkara ini sangat penting. Kerana ada anasir-anasir dalaman, dan luaran parti, yang tugas mereka ialah untuk mengelirukan ahli parti.

17. Saya bertanggungjawab untuk menjelaskannya dengan tegas, insyallah.

Para perwakilan sekalian,

18. Pada PRU ke-15 yang lepas, UMNO telah tewas untuk kali keduanya, semenjak kemerdekaan.

19. Saya ulang, tewas secara berturutan untuk kali kedua. Setelah memenangi 13 pilihanraya umum tanpa kalah.

20. UMNO hanya memenangi 26 kerusi Parlimen dari 222 kerusi.

21. Atau 11.7% dari jumlah keseluruhan kerusi parlimen. Saya ulang, hanya 11.7%.

22. Jumlah undi popular Barisan Nasional hanyalah 3.65 juta. Atau 23% dari jumlah undi keseluruhan.

23. Tidak sampai satu perempat pun dari jumlah undi keseluruhan, sedangkan BN bertanding di 178 kerusi Parlimen.

24. Perikatan Nasional mendapat 4.7 juta undi atau 30% undi popular. Pakatan Harapan pula mendapat 5.93 juta undi atau 38% dari jumlah kerusi keseluruhan.

25. UMNO hanya mendapat 19 kerusi di Semenanjung dan 7 di Sabah. Sedangkan, UMNO adalah parti terbesar di Malaysia.

26. Daripada 5.8 juta pengundi baru dalam PRU ke-15, kita nampaknya gagal mendapat kepercayaan mereka langsung.

27. Tiada peningkatan undi ketara antara jumlah undi BN dalam PRU ke-14 dan PRU ke-15.

28. Jumlah undi BN dalam kedua-dua PRU hanya dalam lingkungan 3.5 juta sahaja.

29. Ini bermakna kita telah mencapai tahap ‘plateau’, atau tiada perubahan dan anjakan yang substantif.

30. BN tidak menang satu kerusi pun di Perlis, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Melaka. Saya ulang, tiada satu kerusi pun.

31. Di Wilayah Persekutuan, kita hanya menang di satu kawasan sahaja. Di Labuan dan Putrajaya, kerusi yang selalunya sangat selamat kepada BN pun kita tewas.

32. Kita juga tidak boleh, membentuk Kerajaan di Pahang dan Perak, tanpa kerjasama dengan parti lain.

33. Apa makna semua angka-angka ini? Maknanya kita harus menerima dan hidup dengan kenyataan bahawa kita telah tewas dengan dahsyat.

34. Kerana itulah, kita tidak boleh mendabik dada. Bercakap dan berhujah dalam penafian.

35. Berlagak seolah-olah UMNO ini keramat dan tersangat kukuh. Sedangkan, kita ditolak oleh rakyat Malaysia dengan kekalahan yang sangat mengesankan.

36. Maka, bersandarkan realiti dan kedudukan, bahawa kita telah tewas, maka kepimpinan UMNO telah melakukan ijtihad politik, untuk bersama PH membentuk Kerajaan Perpaduan.

37. Kerana kita menyedari betapa kecilnya pengaruh kita di mata pengundi. Dan untuk survival UMNO, kita mesti mencari jalan menjadi sebahagian dari Kerajaan.

38. Dengan kehendak Allah, UMNO dan BN yang cuma mempunyai 30 kerusi, ditakdirkan menjadi penentu dalam penubuhan Kerajaan.

39. Pada waktu itu pula, Raja yang sangat kita kasihi, telah mengusulkan agar dibentuk sebuah Kerajaan Perpaduan.

40. Baginda dengan penuh hikmah, mengusulkan bahawa, jalan paling munasabah bagi menyelesaikan kemelut politik nasional, ialah membentuk Kerajaan semua parti.

41. Iaitu semua parti, tanpa mengira ideologi apa pun, bekerjasama dan membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan.

42. Matlamatnya jelas. Mewujudkan Kerajaan yang stabil dan mengembalikan Malaysia ke landasan pembangunan yang sepatutnya.

43. Walau bagaimanapun, cadangan Baginda tidak diterima oleh PN.

44. BN walau bagaimanapun, memilih untuk menuruti titah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong.

45. Disebalik kekalahan kita, UMNO mempunyai kesempatan yang unik, untuk memainkan peranan kritikal dalam penyelesaian kecelaruan politik pasca-PRU.

46. Pada detik yang penuh ketidaktentuan itu, kitalah yang tampil ke hadapan untuk memastikan kestabilan negara.

47. Jadi, dari sebuah parti yang tewas, UMNO menjadi pelengkap kepada pembentukan kerajaan.

48. Lalu terbentuklah Kerajaan Perpaduan, dengan sokongan UMNO, Alhamdullilah.

49. Sesungguhnya, perancangan Allah itu lebih baik. Dengan hanya 30 kerusi, BN menjadi penentu kepada keabsahan sebuah Kerajaan.

50. Wakil UMNO dalam Jemaah Menteri pula diberikan kepercayaan untuk menerajui pelbagai Kementerian penting.

51. Justeru, sangat lah penting untuk UMNO mempertahankan Kerajaan Perpaduan ini. Kerana kita adalah ‘rumus’ yang menjelmakan jawapan kepada kecelaruan politik tanahair, pada waktu itu.

Perwakilan yang sangat saya hormati,

52. Bayangkan implikasinya kepada UMNO, jika kita mensia-siakan peluang ini. Jika kita tidak berprestasi, dan jika kita pula yang menjadi masalah kepada Kerajaan Perpaduan.

53. Siapa lagi yang akan percaya kepada UMNO selepas ini, jika kita gagal menjayakan Kerajaan ini.

54. Kita bukan sahaja, akan mengecewakan kepercayaan Raja yang kita kasihi. Kita juga akan menjadikan rakyat lebih muak dengan drama politik kita.

55. Malah, pengundi akan terus menghukum UMNO, dengan hukuman penolakan yang tidak akan memungkinkan UMNO itu bangkit semula.

56. Kita tidak punyai pilihan. Prestasi kita dalam Kerajaan akan menentukan, sama ada kita boleh dipercayai ataupun tidak dalam PRU akan datang.

57. Dan sudah semestinya, menjayakan Kerajaan ini sangat penting kepada UMNO, kerana kita mesti melakukan perkara yang betul untuk tanahair ini.

58. Telah empat tahun Malaysia terumbang-ambing, tanpa kejelasan matlamat dalam bernegara dan berbangsa. Masakan kita mahu membiarkan ia berterusan.

59. Justeru, kita mesti menggunakan peluang yang sangat unik ini, untuk membezakan UMNO dari parti politik lain.

60. Bahawa kita bukan sekadar punya iltizam. Kita punya kepakaran, kebijaksanaan, ilmu dan pengalaman yang boleh kita manfaatkan, untuk menjadikan Kerajaan ini kerajaan yang cekap, bersih dan amanah.

61. Malam ini, saya mahu kita jelas. Mempertahan dan menjayakan Kerajaan Perpaduan adalah matlamat politik UMNO waktu ini.

62. Insyallah, kita akan jayakan dengan gembelingan segala kepakaran dan pengalaman yang UMNO miliki.

63. Jangan lagi kita sebarkan pelbagai naratif yang mengelirukan.

64. Malah kita mesti menoktahkan segala kekeliruan, dan bekerja seolah-olah ini adalah Kerajaan milik UMNO dan dipimpin UMNO sepenuhnya.

Para perwakilan yang sangat saya hormati sekalian,

65. Cabaran kedua yang ingin saya jelaskan adalah halatuju politik UMNO setelah terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

66. Saya mahu semua perwakilan dan ahli UMNO jelas dalam perkara ini.

67. Saya tidak mahu kita ada sedikit kesangsian pun, kerana segala kekeliruan itu natijahnya ialah masalah yang tidak akan berkesudahan.

Para perwakilan sekalian,

68. Kedudukan kita dalam Kerajaan Perpaduan, telah membuka potensi baru untuk UMNO.

69. Potensi yang tidak pernah terlintas di sanubari kita, malah tidak pernah terbayang dek akal kita.

70. Bahawa kita sedang meneroka kerjasama politik yang unik, ‘unprecedented’ dan sangat luar biasa.

71. UMNO dan BN sedang melalui ‘eksperimen politik’ yang sangat penting.

72. Panggillah apa pun. Jajaran baru. Koalisi baru. Persefahaman baru. Yang jelas, ia adalah haluan politik yang ‘business as unusual’.

73. Iaitu pembentukan persefahaman politik yang berasaskan perpaduan dan kepentingan nasional.

74. Jika selama berpuluh tahun, UMNO telah terbiasa dengan persefahaman politik ‘to rule’, namun, tren yang kita lalui waktu ini pula ialah ‘to unite and to govern’.

75. Kita melihat kemunculan politik kerjasama dan muhibah. Politik perpaduan. Politik permuafakatan.

76. Parti yang berseteru berpuluh tahun, tidak lagi menjadikan fahaman mereka yang sangat ‘diverse’ dan berlainan itu, sebagai halangan untuk memajukan negara.

77. Mereka yang selama ini dirasakan janggal untuk bekerjasama sebagai ‘political partners’, tidak lagi canggung untuk duduk bersama, dan memeta jalan kehadapan untuk negara ini.

78. Pandangan saya ialah, UMNO mesti meneroka jalan baru ini. Jalan yang lebih progresif. Pendekatan yang lebih modern. Lebih kontemporari.

79. Bekerjasama dengan ‘new partners with different perspectives’ demi sebuah negara yang berkemajuan, aman damai dan stabil.

80. Maknanya, kita mesti bergerak ke hadapan dari titik ini. Membuka ruang untuk bekerjasama.

81. Lalu, saya mencadangkan kepada pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri untuk menggunakan perhimpunan kali ini, sebagai wadah memberikan saranan, bagaimana kita harus mengemudi masa depan kita, dengan rakan-rakan politik kita dalam Kerajaan Perpaduan ini.

82. Agar ia boleh menjadi pelan masa depan yang menguntungkan. Bukan membebankan kita.

83. Masa depan yang akan mengembalikan pengaruh dan wibawa UMNO, sebagai parti politik yang bersedia untuk berubah dan merubah.

84. Yang bersedia untuk berhadapan dengan politik yang ‘disruptive’, dalam dekad yang sangat mencabar ini.

85. UMNO perlu meninggalkan politik yang jumud, dan menjarakkan diri dari pemikiran politik sempit.

86. Namun, ini semua tidak sama sekali bermakna, kita lunak dengan pendirian kita tentang Melayu dan Islam.

87. Ingat, DNA UMNO ialah nasionalisma Melayu dan Islam. Ia adalah jatidiri yang sama sekali tidak akan kendur.

88. Kita parti nasionalis. Mempertahankan Melayu dan Islam itu, perjuangan kita.

89. Kerana itulah juga, kita dipanggil ‘assabiyah’ selama berpuluh-puluh tahun, oleh parti tertentu. Kita dilabel parti kesukuan dan perkauman fanatik.

90. Sekarang, hanya kerana haluan politik kita berbeza, kita difitnah membelakangkan Melayu dan Islam pula.

91. Hanya kerana duduk dalam Kerajaan yang di dalamnya ada 19 parti-parti lain, tidak bermakna kita membuang agama dan membuang Melayu. Jawapannya, sama sekali tidak.

92. Insyallah, UMNO akan memperjuangkan Islam dan Melayu, dalam kerangka ‘hubbul watan’ yang lebih sederhana, dan lebih menghargai kepelbagaian Malaysia, dengan unit politik dan sosialnya, yang beraneka agama, kaum dan etnik serta budaya.

93. Jadi, matikanlah segala keraguan tentang ketegasan pendirian UMNO, untuk bangsa Melayu dan Islam.

94. Kesimpulannya, kita tidak akan mundur ke belakang. Kita akan terus maju ke hadapan.

95. Kita pro pembangunan. Kita mencintai perpaduan. Kita memilih kestabilan dan kemakmuran.

96. UMNO pro kemajuan. Pro pembaharuan dan pro demokrasi.

97. Dan kita memilih untuk bekerja dengan mereka demi Malaysia.

98. Jadi, tidak timbul soal kita perlu undi parti itu atau parti ini.

99. Kita hanya mengundi dan memilih parti yang memerintah. Parti yang boleh mengurus negara dengan semangat perpaduan dan meneruskan kestabilan politik.

100. Dan walaupun kita ada pendirian yang berbeza, dan perspektif yang bertentangan, ia tidak akan merencatkan pula kerjasama kita untuk Malaysia yang lebih maju.

101. Kerana itulah hikmah dalam berpolitik. Itu lah juga semangat sebuah demokrasi.

102. Yang pasti, UMNO akan mengurus perbezaan tersebut, bersandarkan kepentingan perpaduan dan kesepakatan nasional.

103. Realitinya ialah UMNO sebenarnya mewakili kepentingan Melayu dan Islam dalam Kerajaan Perpaduan.

104. Insyallah, kita ada fungsi strategik dan kita akan meneruskan fungsi strategik tersebut dengan baik insyallah.

105. Jadi mari kita terokai jalan untuk mengukuhkan kerjasama ini, di pelbagai peringkat dan lapangan.

106. Kerana untuk UMNO, kembali ke acuan ‘identity politics’ yang terlalu sempit dan terlalu terbatas, hanya akan lebih membataskan potensi UMNO dan Malaysia.

Para perwakilan sekalian,

107. Cabaran Ketiga yang ingin saya ketengahkan malam ini ialah, bagaimana akan kita bangun dan kuatkan semula UMNO ini.

108. Kita tidak lagi boleh hidup dalam penafian. Kita tewas dalam dua PRU lepas. Kita bukan lagi blok politik Melayu terbesar dalam demokrasi Malaysia.

109. Kesusutan pengaruh UMNO di kalangan orang Melayu dan rakyat Malaysia adalah pada tahap kritikal.

110. Kedudukan UMNO sebagai parti ketiga dalam liga politik Melayu, adalah sesuatu yang sangat janggal kepada kita semua.

111. Namun, tiada apa yang harus kita ratapi daripada semua ini. Walhal, kita mungkin secara tidak langsung telah menyumbang kepada kesusutan kepercayaan dan pengaruh UMNO ini.

112. Tiada siapa juga yang boleh terkecuali, daripada memikul tanggungjawab bahawa dalam banyak dan kurangnya, kita adalah juga penyebab, mengapa orang Melayu menjauhkan diri dari UMNO.

113. Banyak sekali orang dalam UMNO, yang menyeru untuk kita bangkit. Mengkritik itu dan ini.

114. Sedangkan mereka lupa, UMNO kecundang di kala kita juga dahulu sebahagian dari Kerajaan.

115. Kita tewas di kala, pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri, dan Ahli Parlimen kita menganggotai Jemaah Menteri.

116. Justeru, janganlah kita terus bermain dengan ‘the blame game’. UMNO tidak akan bangkit, jika kita terus terperangkap dalam ‘blame game’ ini.

117. Nasib dan masa depan UMNO adalah urusan kita. Tiada yang mampu mengubah nasib UMNO kecuali kita jua.

118. Justeru, sekarang adalah masanya untuk kita memulakan semula, gerak kerja membangunkan UMNO ini, dengan kerja nyata. Dengan iltizam. Dengan jiwa dan kerja keras.

119. Bukan lagi sekadar bercakap dan memberi saranan. Apatah lagi mengkritik UMNO sehingga tiada lagi rasa hormat pada institusi dan kepimpinan parti.

120. Kerana itu, malam ini saya ingin menyarankan beberapa perkara untuk kita maju ke hadapan. Tanpa berlengah dan mengenepikan segala ‘politiking dalaman’.

Para perwakilan sekalian,

121. Izinkan saya mengusulkan beberapa strategi untuk perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri fikir, bahas dan laksanakan insyallah.

122. Pertama, telah tiba masanya kita menyandarkan masa depan parti ini kepada generasi muda dan generasi penerus dengan lebih serius dan terancang.

123. Generasi muda parti adalah penerus perjuangan bangsa. Anda semua adalah penyambung kepada cita-cita nasional dan aspirasi kebangsaan.

124. Anda semua bukan sekadar penumpang atau pemerhati, dalam perjalanan bangsa yang sangat berliku. Anda adalah asbab kenapa parti ini wujud dan berkelangsungan.

125. Anda semua adalah sebahagian dari masalah dan solusi kepada Malaysia. Begitu juga kepada parti.

126. UMNO tidak lagi boleh memencilkan peranan generasi muda parti.

127. Apalagi bila mengambil kira, arus penolakan anak mudalah yang menyebabkan UMNO tewas dan terjerumus dalam keadaan sebegini.

128. Jadi kepada kepimpinan Pemuda dan Puteri, saya dan rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi insyallah, tidak akan memandang enteng dan mengambil mudah, peranan kalian dalam menguatkan kembali UMNO.

129. Tetapi janganlah pula, hanya mengharap untuk dinaungi kepimpinan dalam melaksanakan peranan kalian.

130. Dan jangan pula berperanan untuk parti, hanya sekadar menyuarakan keluhan anda di media sosial, tapi tidak tampil memberikan kepimpinan.

131. Adalah membimbangkan, bila desakan kalian hanyalah untuk mendapatkan ‘kuota khas orang muda’ atau dewan khas untuk orang muda, atau senator untuk orang muda.

132. Anda semua tidak perlukan semua yang ‘khas’ itu. Anda semua mesti menjadi bahagian utama pada sesuatu yang perdana, besar dan dominan dalam parti dan politik serta kemaslahatan Malaysia.

133. Pemikiran pemisahan khusus untuk golongan muda, dalam bentuk seperti kuota khas dan pelbagai keistimewaan lagi, adalah pemikiran lapuk. Ia adalah pemikiran imperialisme yang suka pisah memisah, suka kepada class dan strata.

134. Parti ini dan tanahair ini, mesti dibangunkan oleh gandingan semua. Bukan terpecah dan terpisah, antara yang muda dan tua, yang baru dan veteran, yang lelaki dan yang wanita.

135. Saya ingin menegaskan bahawa, Pergerakan Pemuda dan Puteri adalah armada dalam kemajuan UMNO dan bangsa Melayu.

136. Anda semua adalah sangat penting, dalam membangunkan semula UMNO dan mempertahankan kelangsungan parti.

137. Maka berhentilah menagih segala jawatan, segala kontrak, dan segala gelaran. Jangan terpedaya dengan kilauan kuasa dan imbuhan, dek kerana kita adalah sebahagian dari kerajaan waktu ini.

138. Tampil dan berikan kepimpinan. Lakukan ikhtiar untuk parti dalam pelbagai cara, modaliti dan arena.

139. Ilmu pengetahuan yang kalian punya, banyak yang kami tidak punya. Pemikiran baru yang anda semua punya, kekadang tidak terjangkau oleh kami. Kemahiran yang kalian punya, adalah bukan kemahiran kami.

140. Maka masakan masalah bangsa, kemelut tanahair dan segala krisis yang melanda, hanya diperhatikan. Dan di ulas-ulas secara sinikal dan entang di media sosial dan setakat demikian sahaja.

141. Justeru, pelan penyediaan pemimpin generasi ke lima dan ke enam UMNO sangatlah penting.

142. Kita mesti mengenal pasti, dan melatih sekelompok generasi pelapis dalam UMNO, untuk menyediakan mereka bagi mengambil alih parti dan negara ini suatu masa nanti.

143. Pelan sedemikian akan meyakinkan ahli parti, orang Melayu dan rakyat Malaysia, tentang kesediaan UMNO untuk terus mengemudi Kerajaan dan negara.

144. Namun, tugas menyediakan pemimpin masa depan bukanlah kerja yang mudah.

145. Kita perlu memberi bimbingan sebaiknya, agar bila mereka tampil memimpin, mereka akan memimpin dengan karakter yang perkasa dan unggul. Dengan nurani yang ikhlas. Dengan kebitaraan yang sesuai zaman.

146. Yang pasti, UMNO memerlukan pemimpin masa depan yang berbakat. Tidak kira lah dari Universiti Malaya, atau Al Azhar atau Oxford atau Harvard. Atau hanya dari persekolahan pengalaman.

147. Parti akan memberi ruang kepada sesiapa jua. Asalkan anda mempunyai karakter yang kuat, jujur dan budiman untuk membangun bangsa dan negara.

148. Dan memberikan ruang kepada mereka yang tahan diuji. Dan bila mereka diuji, mereka setia dan sabar.

149. Terutama, bila parti tidak dapat memenuhi harapan dan cita-cita peribadi anda, janganlah gundah dan membawa diri. Dan jangan menyinggung pimpinan dan parti.

150. Tiada individu yang terlalu istimewa dalam UMNO ini, yang harus diberikan segala yang dimintanya, hanya kerana dia dari ‘kelas’ tertentu.

151. Harapan saya adalah, supaya Pemuda, Puteri dan kepimpinan mereka, menjadi ‘the moral compass and the moral force’ untuk parti.

152. Dalam sejarah pergerakan dan perjuangan bangsa yang maju, generasi muda selalu mempunyai peranan yang sangat strategik.

153. Mereka akan selalu, menjadi orang yang mengubah sejarah, dan melakar sejarah baharu di setiap waktunya.

154. Kerana lumrahnya, dan secara kualitatif, generasi muda adalah lebih kreatif, inovatif, memiliki idealisme yang murni dan energi besar, dalam perubahan sosial di sekelilingnya.

Para perwakilan sekalian,

155. Kedua, UMNO mesti mengembeling kekuatan Wanitanya dengan sebesar-besar gembelingan.

156. Selama berpuluh-puluh tahun, hayat UMNO sangat bergantung dengan kerja keras pergerakan Wanita.

157. Mereka yang paling keras bekerja. Paling tekun. Paling tidak bercakap banyak, tetapi paling berkesan.

158. Kempen mereka sangat berkesan. Menyantuni setiap rumah, setiap ibu, dan keluarga dalam tetangga dan lingkungan.

159. Jika UMNO ingin kembali berkuasa dan kuat, strategi mobilisasi Wanita, untuk menarik pengundi Wanita sangat penting.

160. Sebagai contoh, dalam Pilihanraya Turkiye baru-baru ini, kemenangan Presiden Erdogan ialah kerana peranan pengundi Wanita.

161. Mereka lah penyokong tegar, yang tidak pernah ragu dalam membuat keputusan. Mereka setia dan teguh dalam kesetiaan.

162. Analisis pilihanraya Turkiye menunjukkan bahawa golongan Wanita menyokong Erdogan kerana, mereka mahukan jaminan kepada kestabilan, kesinambungan dan kesejahteraan keluarga dan masyarakat.

163. Kepada Wanita, saya menyandarkan, harapan yang sangat tinggi untuk puan-puan semua, mendepani pemulihan UMNO ini.

164. UMNO akan pulih dengan lebih pantas, jika kita dapat menarik, lebih ramai pengundi wanita mengundi UMNO.

165. Jumlah pengundi muda perempuan adalah sangat besar, dan bertambah berlipat kali ganda.

166. Mereka mesti menjadi sasaran kita, untuk sokongan, dan akhirnya untuk keahlian pergerakan Puteri dan Wanita.

167. Kita adalah parti pertama dalam politik negara, yang menubuhkan pergerakan Puteri untuk gadis dan wanita muda.

168. Namun, kita sekarang terkebelakang, dalam menarik sokongan mereka. Ini mesti berubah.

169. Sekarang, kita mesti menjadi parti lebih proaktif, untuk merekrut golongan hawa ini.

170. Dekati mereka, ajak mereka menyertai aktiviti parti, dan insyallah akhirnya, menyertai parti dan menjadi aktivis parti.

171. Saya juga berharap agar, segala gerak kerja Wanita, kita modenkan dengan teknologi, menggunakan data, dan kecanggihan sosial media.

172. Di persada nasional, bersuaralah dengan lantang, untuk memperjuangkan kepentingan Wanita.

173. Apa sahaja isu yang berkaitan kepentingan Wanita, kita mesti terkehadapan. Perjuangkan. Perjuangkan dengan konsisten. Dengan sepenuh jiwa.

174. Biar seantero Malaysia merasai keperihatinan kita. Dan perjuangkan semua isu, bukan sahaja yang berkaitan Wanita.

175. Suara Wanita tentang pelbagai isu pendidikan, kelestarian, ekonomi, keadilan, hak asasi serta lain-lain, adalah sangat diperlukan.

176. Politik UMNO bukan untuk menang pilihanraya sahaja. Kita melakukannya untuk negara dan bangsa yang lebih baik.

177. Kerana itu kita mesti menjadi jurucakap kepada mereka yang tertindas, yang dilupai dan yang terbawah dalam masyarakat.

178. Politik kita mesti mengangkat harkat manusiawi, diperjuangkan dengan nurani yang ikhlas, dan dituturkan dengan jujur.

Para perwakilan sekalian,

179. Ketiga, blueprint baru agenda Melayu yang lebih tuntas dan seiring zaman, sangat diperlukan jika UMNO ingin berkelangsungan.

180. UMNO nampaknya belum berjaya menampilkan agenda yang lebih progresif untuk bangsa Melayu.

181. Empat tahun telah terbiar begitu sahaja, setelah dihambat pelbagai kemelut politik tanahair.

182. Kita seolah hilang fokus, kepada segala kesusutan dan kesengsaraan yang dilalui bangsa Melayu. Dan kita juga gagal, menampilkan solusi yang bernas untuk mereka.

183. Ingatlah. Bangsa kita berhadapan dengan pelbagai krisis yang meruncing, sejak kebelakangan ini.

184. Meskipun pahit perlu ditelan, hakikatnya Bumiputera jauh ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini. Orang Melayu kita masih tergolong dalam kumpulan miskin tegar, dengan kadar kemiskinan tertinggi berbanding masyarakat yang lain.

185. Tidak cukup dengan itu, wang simpanan persaraan Bumiputera juga, semakin susut saban tahun. Kesempitan hidup pasca pandemik, memaksa mereka mengeluarkan wang persaraan secara besar-besaran, sehingga hampir 5.1 juta atau 76 peratus pencarum KWSP Bumiputera, kini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

186. Lebih membimbangkan, lebih dua juta atau 81 peratus pencarum KWSP Bumiputera berumur 55 tahun ke bawah, mempunyai simpanan ‘amat kritikal’, iaitu kurang daripada RM1,000. Maksudnya, ramai yang tidak akan dapat bersara, kerana terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan di usia tua.

187. Dari segi pencapaian kita sebagai bangsa, baik dari segi ekonomi, pendidikan, kemaslahatan sosial, malah di peringkat kepimpinan antarabangsa, bangsa Melayu tidak menunjukkan kemajuan yang ketara.

188. Malah dalam banyak keadaan, pencapaian bangsa Melayu telah sangat mengendur dan menyusut. Apa lagi dampak pandemik, kemelesetan ekonomi, dan arus globalisasi yang deras, terus menghimpit masyarakat kita.

Para perwakilan sekalian,

189. Jadi, apa sebenarnya rencana UMNO ini untuk orang Melayu? Ini adalah ujian sebenar peranan dan relevannya UMNO sebagai parti bangsa Melayu.

190. Bagaimana kita akan menampilkan solusi ekonomi, sosial dan budaya untuk mengatasi segala kemaslahatan ini?

191. Apakah strategi kita untuk membasmi kemiskinan bandar, meningkatkan pemilikan bank, universiti, hospital, kilang dan syarikat bertaraf unicorn untuk bangsa Melayu?

192. Cara apa yang akan kita gunakan untuk menambah bilangan saintis, bilangan coders dan programmers, bilangan jururawat dengan kepakaran unik, jurutera, peguam dan pelbagai professional lain?

193. Strategi apa yang bakal dibuat untuk memartabatkan Bahasa Melayu? Menjadikan segalanya tentang dunia Melayu itu, kita pelihara, majukan dan tamsilkan secara global.

194. UMNO mesti ada jawapan untuk semua ini. Dan jawapan UMNO tidak boleh ‘piecemeal’. Juga secara ad hoc.

195. Solusi UMNO mestilah dalam satu bentuk blueprint kemajuan dan pemodenan bangsa Melayu yang lengkap, menyeluruh dan kalis masa.

196. Jika UMNO tidak menyediakan blueprint sebegini, maka bagaimana kita akan merencana program yang sistematik untuk kemajuan bangsa Melayu.

197. Seruan saya adalah untuk UMNO memulakan langkah berani dan tegas. Merangka blueprint baru dengan membawa Agenda Melayu, yang moden dan maju, untuk meyakinkan bangsa Melayu, bahawa kita ada rencana yang jelas untuk bangsa.

198. Dengan blueprint sedemikian, kita dapat membuktikan bahawa, kita sedar akan masalah yang melingkari bangsa Melayu, dan kita ada strategi dan rancangan jangka panjang untuk mereka.

199. Hanya dengan sedemikian, kita dapat membezakan diri kita, daripada mereka yang menunggang agama dan bangsa, dalam lanskap politik Malaysia. Yang wujud hanya sekadar bermain sentimen agama, dan perkauman yang sempit, demi survival politik.

200. Saya usulkan UMNO, dengan segera, menganjurkan Kongres Melayu. Kita himpunkan pemikir terbaik bangsa untuk membantu kita menghasilkan blueprint Melayu Maju ini.

201. Jangan asyik dengan pelbagai konvensyen politik, tetapi lohong dalam kandungan dan intipati.

202. Yang akhirnya, menyaksikan kita mendengar syarahan, daripada tokoh yang sama, manakala kita pula bercakap antara sesama kita sahaja.

203. Saya usulkan juga, Kongress ini digerakkan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri. Kerana anda perlu buktikan bahawa, anda semua akan bersedia untuk mengemudi agenda bangsa bersama kami.

Para perwakilan sekalian,

204. Sebelum mengakhiri ucapan, ada satu pesanan yang ingin saya luahkan, bukan sahaja kepada ahli dan perwakilan UMNO, tetapi kepada rakyat Malaysia secara keseluruhanya.

205. Generasi saya adalah generasi yang telah menyaksikan pelbagai fasa pembangunan dan kemajuan Malaysia.

206. Saya tidak dibesarkan dengan segala keberadaan, malah merasai segala kekurangan dan kesusahan.

207. Saya telah melihat bagaimana negara ini membangun.

208. Dari negara yang kucar-kacir, kerana jurang kemiskinan dan keberadaan yang sangat besar, dan telah mencetuskan konflik perkauman 1969, kepada negara yang makmur dan maju serta bersatu padu.

209. Namun terbit kebimbangan saya kebelakangan ini.

210. Tentang suatu tren, baik dalam kalangan ahli politik mahupun pemimpin NGO, yang kata-kata, retorik dan tindakan mereka, nyata membelakangkan, nilai-nilai yang terpahat kemas dalam perlembagaan nasional.

211. Yang mengancam perpaduan kaum. Yang menimbulkan kegelisahan kepada umat Islam dan bukan Islam.

212. Jaminan hak asasi, kebebasan dan keutuhan institusi awam kita, diperlekehkan semahunya. Kepercayaan terhadap institusi Kerajaan semakin menipis. Malah institusi Raja turut diheret dengan nada yang tiada susila.

213. Tindakan mempersendakan Islam, dan institusi utama negara ini juga, semakin kuat kedengaran. Ini semua tidak sepatutnya berlaku.

214. Malaysia kurun ke-21 seharusnya menjadi lebih baik, lebih bermutu dan lebih berperlembagaan.

215. Maka, saya menyeru semua generasi muda dalam UMNO dan generasi muda Malaysia.

216. Anda semua mesti mengembalikan semula Malaysia ini, ke jalan sederhana dan progresif.

217. Menjadi benteng pertahanan terpenting, kepada Perlembagaan Persekutuan.

218. Mari kita kembali, memperteguh penanaman nilai-nilai perlembagaan, di dalam kehidupan sehari-hari rakyat Malaysia.

219. Kerana nilai-nilai perlembagaan itu lah, yang mewarnai Malaysia yang aman damai selama ini.

220. Bagi saya, saudara saudari sekalian adalah generasi, yang mesti menjadi pengawas paling penting, untuk mengawasi segala ketidakpatuhan kepada perlembagaan.

221. Jiwai akan ia, dan terjemahkan ia, melalui kehidupan dan bertatakelola, secara berpelembagaan.

222. Saya adalah generasi, yang membesar dalam masyarakat Malaysia, yang benar-benar muhibbah.

223. Dan saya sangat merindui, saat dan momen, di mana negara ini, menjadi refleksi sebuah watan yang ‘multicultural’, harmoni dan sangat bersatu padu, bersandarkan Perlembagaan yang adil.

Para Perwakilan yang saya hormati sekalian,

224. Saya akhiri ucapan saya pada malam ini, dengan menyandar suatu harapan.

225. Bahawa memajukan bangsa Melayu, memerlukan lebih dari sekadar ikrar kesetiaan, dan keyakinan kepada perjuangan bangsanya.

226. Bangsa Melayu, memerlukan sesuatu yang konkrit, terancang dan strategik demi sebuah masa depan dan kehidupan bermaruah.

227. Maknanya, UMNO mesti mengambil pendirian, untuk membuat tawaran yang lebih jelas, agar kebolehsaingan bangsa Melayu, dapat di pertingkatkan.

228. Bukan terus dengan pelbagai retorik, dan politiking yang lunak, tanpa strategi, tanpa blueprint, tanpa apa-apa.

229. Melayu dalam Malaysia moden, memerlukan bukan sekadar bantuan dan intervensi, tetapi kompetensi dan keberdayaan, yang akan membolehkan mereka benar-benar bersaing.

230. Mari kita usahakan, suatu pelan yang konkrit untuk orang Melayu.

231. Gunakan kesempatan kita dalam Kerajaan Perpaduan ini, untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dengan rasional dan tuntas.

232. Generasi pelapis UMNO dalam Pemuda dan Puteri lah yang harus kehadapan dalam perkara ini.

233. Pastinya menjaga perpaduan dan kesatuan pelbagai bangsa, bukanlah hal yang mudah. Banyak sekali pancarobanya. Tetapi ini lah tanahair yang wajib kita pertahankan.

234. Semoga negara ini menjadi negara yang adil dan makmur, yang mendapat limpah rahmah dan pengampunan dari Allah, dalam bingkai persatuan dan kesatuan bangsa dan negara Malaysia.

235. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Tahun 2023.

236. Selamat bersidang.


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit