Townhall Penerangan UMNO: Presiden Harap Ketua-ketua Penerangan Berperanan Jelaskan Isu

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar Ketua-Ketua UMNO Bahagian memberikan peranan sepenuhnya kepada Ketua-Ketua Penerangan parti untuk menjelaskan segala isu yang dirangka pihak lawan terhadap akar umbi.

Jelasnya, UMNO/Barisan Nasional (BN) berupaya untuk mendapat lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 sekiranya jentera penerangan digerakkan dengan sebaiknya.

“Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebutkan sebentar tadi, sekiranya pada PRU ke-16 kita tidak berpecah, bekerja keras dan mengubah cara menggerakkan jentera penerangan, Insya-Allah kita akan memperoleh lebih banyak kerusi.

“Itu sebabnya ‘townhall’ yang kali pertama dianjurkan oleh Ketua Penerangan, Datuk Seri Azalina Othman Said, wajib dibuat setiap tahun sebelum Perhimpunan Agung UMNO (PAU),” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena ‘Townhall Penerangan UMNO’ sebentar tadi.

Beliau yang juga Pengerusi BN itu turut berharap agar Ketua Penerangan setiap peringkat akan turun ke akar umbi bagi memberikan penjelasan mengenai isu-isu yang sengaja ditimbulkan terutamanya oleh pihak lawan.

“Ada hikmahnya apabila kita meminda perlembagaan agar Ketua-Ketua Penerangan dimasukkan sebagai perwakilan kerana perlembagaan UMNO mengiktiraf mereka.

“Akhirnya, saya harap semua Ketua Penerangan Bahagian dan sayap-sayap turun ke bawah berjumpa dengan semua Ketua Penerangan peringkat cawangan untuk menjelaskan segala kegusaran. Saya yakin selepas hari ini saudara-saudari akan jawab segala tohmahan bagi pihak parti.

Let’s us start fresh. Mulai pada hari ini kita bergantung kepada semua Ketua Penerangan untuk memberikan penjelasan dan pencerahan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merasmikan logo baharu Penerangan UMNO Malaysia dengan diiringi oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib-Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut hadir ke program ‘Townhall Penerangan UMNO Malaysia’ ini adalah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan juga kepimpinan UMNO yang lain.

‘Townhall Penerangan UMNO Malaysia’ yang dihoskan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said diadakan sebagai pembuka acara sempena PAU 2023 dengan mengumpulkan semua ketua-ketua penerangan empat peringkat dari seluruh negara.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bermula hari ini sehingga 10 Jun ini dan ianya akan mengumpulkan para perwakilan daripada 191 bahagian seluruh Malaysia sebagai tanda manifestasi kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit