Townhall Penerangan UMNO Julung Kali Diadakan, Bakal Dibawa Ke Peringkat Negeri

KUALA LUMPUR, 7 Jun – ‘Townhall Penerangan UMNO Malaysia’ yang diadakan buat julung-julung kalinya sempena Perhimpunan Agung UMNO akan dibawa ke peringkat negeri-negeri.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Penerangan UMNO perlu lebih kerap memunculkan diri bukan sahaja ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK).

“’Townhall’ yang dianjurkan ini mungkin kita nak buat untuk negeri-negeri sebelum konvensyen negeri, ‘townhall’ penerangan. Penerangan ini tidak boleh keluar semasa PRK atau PRN sahaja.

“Sebelum berlangsungnya konvensyen negeri, akan diadakan ‘townhall’ penerangan. Terima kasih kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menjadikan ketua-ketua penerangan sebagai perwakilan untuk Perhimpunan Agung UMNO (PAU),” katanya pada satu sidang media yang diadakan selepas berakhirnya program ‘Townhall Penerangan UMNO Malaysia’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Menurutnya, Penerangan UMNO perlu menjawab segala fitnah yang cuba ditimbulkan oleh pihak lawan dan menjadi jurucakap kepada akar umbi.

“Penerangan di bawah perlu menjawab kepada segala fitnah yang ditimbulkan dan menjadi jurucakap. Janganlah diam sahaja apabila difitnah. Diam menunjukkan makna bahawa kita bersetuju.

“Penerangan tidak boleh diam. Kali ini kita ambil kesempatan supaya ‘townhall’ ini dapat diadakan kalau boleh di setiap negeri dan juga di bahagian.

“Saya harap selepas ini penerangan di negeri dan bahagian memainkan peranan bukan sahaja semasa PRN, Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRK,” katanya ketika mengendalikan sesi bual bicara sempena ‘Townhall Penerangan UMNO Malaysia’.

Terdahulu, ‘Townhall Penerangan UMNO Malaysia’ diadakan sebagai pembuka acara sempena PAU 2023 yang mengumpulkan semua ketua-ketua penerangan empat peringkat dari seluruh negara.

‘Townhall’ tersebut diadakan dalam bentuk sembang santai dan menampilkan Naib-Naib Presiden UMNO sepentas iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai panel.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bermula hari ini sehingga 10 Jun ini dan ianya akan mengumpulkan para perwakilan daripada 191 bahagian seluruh Malaysia sebagai tanda manifestasi kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.