PAU2023: Shamellya Harap Perwakilan Angkat Semangat Perjuangan Perkuat Kembali UMNO

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi berharap agar para perwakilan yang bakal menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 akan membawa balik semangat perjuangan untuk kembali perkuat UMNO bagi dibawa pulang ke bahagian masing-masing.

Jelasnya, PAU 2023 ini merupakan sebuah medan untuk berbincang dan mengukuhkan parti ke arah yang lebih baik selepas melalui pelbagai fasa dalam tempoh masa singkat ini.

“PAU adalah satu medan perbincangan serta pengukuhan pembawaan parti ke arah yang lebih baik dan selepas pemilihan, kebanyakan pimpinan baharu telah memberi panduan agar ahli serta akar umbi memahami situasi sebenar UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sudah pastinya, PAU 2023 kali ini akan memfokuskan gerak kerja Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tak lama lagi,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Shamellya, PAU kali ini juga membawa tujuan untuk menyatupadukan ahli, akar umbi dan jentera lebih-lebih lagi dalam menghadapi PRN yang bakal berlangsung kelak.

“Kita berharap agar PAU 2023 ini dapat menyatupadukan ahli, akar umbi dan jentera bersama dengan satu hati.

“Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, banyak perkara yang berlaku dalam UMNO dan ianya perlu diperbetulkan bagi mempersembahkan pasukan terbaik untuk menghadapi perang PRN kelak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut beranggapan bahawa semangat berpasukan diperlukan dan berharap agar para perwakilan memandang serius PAU 2023 ini untuk menambahbaik persepsi rakyat terhadap parti.

“PAU2023 merupakan PAU pertama selepas pemilihan dan sudah pasti ramai dalam kelompok ini menginginkan semangat baharu dan dorongan untuk dibawa pulang ke bahagian serta kawasan masing masing.

“Justeru, semangat berpasukan diperlukan dan diharapkan agar perwakilan memandang serius PAU 2023 ni sebagai satu medan penambahbaikan parti kita di mata masyarakat di luar sana,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bakal berlangsung pada 7 sehingga 10 Jun ini dan ianya akan mengumpulkan wakil para perwakilan daripada 191 bahagian seluruh Malaysia sebagai tanda manifestasi kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa PAU pada tahun ini diadakan lebih awal kerana selepas itu akan diadakan sesi jelajah ke negeri-negeri yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan menggerakkan jentera. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.