PAU 2023 Inspirasi Anak Muda Depani Perjuangan Masa Hadapan – Nur Dinie

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Landskap politik dinamik dan penuh cabaran adalah dugaan terbesar yang bakal ditempuh khususnya anak-anak muda selaku pewaris perjuangan.

Lantaran itu, Ketua Penerangan Puteri UMNO Bahagian Kuala Pilah, Nur Dinie Mohd Fadil berharap Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang membuka tirainya hari ini bakal memberi inspirasi kepada anak-anak muda dalam meneruskan perjuangan parti.

Katanya, apa yang penting adalah penghayatan kepada nilai sebenar perjuangan UMNO yang berteraskan cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

“Tentunya dalam PAU 2023 ini anggota parti khususnya bagi kami golongan muda mahukan parti ini menjadi landasan kukuh dalam persefahaman dan kesatuan perpaduan bagi menghadapai pelbagai cabaran pada masa hadapan.

“Apatah lagi selepas ini Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlangsung di enam negeri, maka persidangan dalam PAU ini tentunya akan mampu menyemarakkan semangat perjuangan anak-anak muda yang baru subur dalam arena politik semasa,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, beliau mengakui teruja apabila ketua-ketua penerangan buat kali pertama terlibat selaku perwakilan dalam PAU 2023 setelah melalui pindaan pada PAU Khas awal tahun ini.

“Kesiap siagaan anak muda tentunya akan dapat digarap melalui PAU 2023 apabila kita mengikuti persidangan, merasai kepimpinan UMNO pelbagai peringkat berkumpul, berbahas, mendengar hujah dan intipati suara dari akar umbi untuk sama-sama bangkit.

“Sesungguhnya kehadiran kami selaku anak muda dalam PAU 2023 menolak dakwaan UMNO tidak mendapat tempat sebaliknya nilai tambah yang ada dalam UMNO sentiasa subur untuk semua peringkat.

“Inilah hari untuk kita mengembalikan perjuangan, bersedia semarakkan kegemilangan UMNO sebagai satu-satunya harapan bangsa malah menjadi harapan kepada seluruh rakyat negara ini,” katanya lagi.

Hari ini PAU 2023 membuka tirai dengan pendaftaran perwakilan yang akan mengikuti persidangan dengan sesi pertama adalah ‘Townhall Penerangan UMNO’ yang mengumpulkan tiga Naib Presiden UMNO di atas satu pentas dengan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menjadi moderator. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit