PAU 2023 Bermula Dengan Pendaftaran Perwakilan Wanita, Pemuda Dan Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bermula dengan pendaftaran perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO hari ini.

Seawal pukul 9.00 pagi pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (WTCKL) mula dipenuhi perwakilan sayap-sayap UMNO membabitkan 191 bahagian UMNO dari seluruh negara.

Sesi pendaftaran terbabit berjalan lancar dengan urus setia melayani kedatangan perwakilan di sini.

Tinjuan UMNO Online mendapati perwakilan telah tiba di pekarangan bilik Melati Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) untuk mendaftar serta mengambil beg perwakilan.

Perhimpunan ini menyaksikan penglibatan seramai 6,341 perwakilan dari 191 bahagian merangkumi 1,159 anggota perwakilan mewakili Wanita, Pemuda (1,160 anggota) serta 1,134 perwakilan Puteri.

Ini menyaksikan jumlah perwakilan dan pemerhati semakin bertambah apabila ketua penerangan bahagian dan sayap parti diberikan secara automatik supaya mereka dapat memberi penjelasan kepada ahli UMNO di kawasan masing-masing.

PAU 2023 akan berlangsung 7 hingga 10 Jun dengan acara rasmi akan bermula dengan program taklimat presiden dan diikuti majlis perasmian Perhimpunan Agung pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada sebelah malamnya.

Perhimpunan ini juga julung kali dilaksana selepas pemilihan UMNO yang diadakan pada Mac lalu membariskan kepimpinan parti sama ada di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, sayap-sayap malah juga di peringkat bahagian.

PAU 2023 bermula dengan sesi ‘Townhall’ Penerangan UMNO yang menghimpunkan ketua-ketua penerangan empat peringkat pada sebelah pagi. Menyusul pada pukul 3.00 petang ialah Taklimat Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Pada sebelah malamnya, Majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka.

Pada 8 Jun ketiga-tiga sayap UMNO akan melaksanakan persidangannya secara berasingan dengan Wanita di Dewan Merdeka, Pemuda di Dewan Tun Razak sementara Puteri di Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail.

Seterusnya pada 9 Jun perhimpunan ini akan diteruskan dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit