Mohamad Usulkan Tiga Strategi Untuk Parti Terus Maju Ke Hadapan

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan tiga strategi untuk parti terus maju ke hadapan, tanpa lengah serta mengenepikan segala politiking dalaman.

Pertama katanya, telah tiba masanya menyandarkan masa depan parti ini kepada generasi muda dan generasi penerus dengan lebih serius dan terancang.

“Anda semua adalah penyambung kepada cita-cita nasional dan aspirasi kebangsaan. Anda semua bukan sekadar penumpang atau pemerhati, dalam perjalanan bangsa yang sangat berliku. Anda adalah asbab kenapa parti ini wujud dan berkelangsungan.

“Anda semua adalah sebahagian dari masalah dan solusi kepada Malaysia. Begitu juga kepada parti. UMNO tidak lagi boleh memencilkan peranan generasi muda parti. Apalagi bila mengambil kira, arus penolakan anak mudalah yang menyebabkan UMNO tewas dan terjerumus dalam keadaan sebegini.

“Jadi kepada kepimpinan Pemuda dan Puteri, saya dan rakan-rakan dalam Majlis Kerja Tertinggi tidak akan memandang enteng dan mengambil mudah, peranan kalian dalam menguatkan kembali UMNO,” kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi.

Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serentak yang turut dihadiri ketiga-tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sini malam ini.

Hadir sama Ketua Wanita Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda Dr Muhamad Akmal Saleh, Ketua Puteri Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan barisan kepimpinan parti.

Tambah Mohamad lagi UMNO mesti menggembleng kekuatan Wanita dengan sepenuhnya yang terbukti serius dan berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Saya juga berharap agar segala gerak kerja Wanita kita modenkan dengan teknologi, menggunakan data dan kecanggihan sosial media. Di persada nasional bersuaralah dengan lantang untuk memperjuangkan kepentingan Wanita.

“Apa sahaja isu yang berkaitan kepentingan Wanita kita mesti terkehadapan. Perjuangkan. Perjuangkan dengan konsisten. Dengan sepenuh jiwa. Biar seantero Malaysia merasai keperihatinan kita. Dan perjuangkan semua isu, bukan sahaja yang berkaitan Wanita.

“Suara Wanita tentang pelbagai isu pendidikan, kelestarian, ekonomi, keadilan, hak asasi serta lain-lain, adalah sangat diperlukan. Politik UMNO bukan untuk menang pilihan raya sahaja. Kita melakukannya untuk negara dan bangsa yang lebih baik,” ujarnya.

Seterusnya jelas Mohamad, parti memerlukan ‘blueprint’ baru agenda Melayu yang lebih tuntas dan seiring zaman jika UMNO ingin berkelangsungan.

“Solusi UMNO mestilah dalam satu bentuk ‘blueprint’ kemajuan dan pemodenan bangsa Melayu yang lengkap, menyeluruh dan kalis masa. Jika UMNO tidak menyediakan ‘blueprint’ sebegini, maka bagaimana kita akan merencana program yang sistematik untuk kemajuan bangsa Melayu.

“Seruan saya adalah untuk UMNO memulakan langkah berani dan tegas. Merangka ‘blueprint’ baru dengan membawa Agenda Melayu, yang moden dan maju, untuk meyakinkan bangsa Melayu, bahawa kita ada rencana yang jelas untuk bangsa.

“Dengan ‘blueprint’ sedemikian, kita dapat membuktikan bahawa kita sedar akan masalah yang melingkari bangsa Melayu dan kita ada strategi dan rancangan jangka panjang untuk mereka,” katanya.

Begitu juga tegasnya, ia dapat membezakan UMNO dengan mereka yang menunggang agama dan bangsa dalam landskap politik Malaysia.

Di samping itu, Mohamad juga mengusulkan agar Pemuda dan Puteri UMNO menganjurkan Kongres Melayu bagi menghasilkan ‘blueprint’ Melayu Maju. – UMNO ONLINE


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit