Mempertahan, Menjayakan Kerajaan Perpaduan Matlamat Politik UMNO Ketika Ini

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Mempertahan dan menjayakan Kerajaan Perpaduan adalah matlamat politik UMNO waktu ini dengan menggembleng segala kepakaran dan pengalaman yang dimiliki parti, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata usaha menjayakan Kerajaan Perpaduan sangat penting kerana UMNO mesti melakukan perkara yang betul untuk tanah air.

“Telah empat tahun Malaysia terumbang-ambing, tanpa matlamat jelas dalam bernegara dan berbangsa. Masakan kita mahu membiarkan ia berterusan.

“Justeru, kita mesti menggunakan peluang yang sangat unik ini, untuk membezakan UMNO dari parti politik lain bahawa kita bukan sekadar punya iltizam. Kita punya kepakaran, kebijaksanaan, ilmu dan pengalaman yang boleh kita manfaatkan untuk menjadikan kerajaan ini kerajaan yang cekap, bersih dan amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serentak yang turut dihadiri tiga Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di sini hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kedudukan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan telah membuka potensi baru untuk parti.

“UMNO dan BN sedang melalui ‘eksperimen politik’ yang sangat penting. Panggillah apa pun. Jajaran baru, koalisi baharu, persefahaman baharu. Yang jelas, ia adalah haluan politik yang ‘business as unusual’ iaitu pembentukan persefahaman politik yang berasaskan perpaduan dan kepentingan nasional.

“Jika selama berpuluh tahun, UMNO telah terbiasa dengan persefahaman politik ‘to rule’, namun, trend yang kita lalui waktu ini pula ialah ‘to unite and to govern’. Kita melihat kemunculan politik kerjasama dan muhibah, politik perpaduan, politik permuafakatan,” katanya.

Menyingkap kembali penyertaan UMNO untuk membentuk kerajaan, Menteri Pertahanan itu berkata bersandarkan realiti dan kedudukan bahawa parti telah tewas, kepimpinan UMNO telah melakukan ijtihad politik untuk bersama Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Kita menyedari betapa kecilnya pengaruh kita di mata pengundi dan untuk survival UMNO, kita mesti mencari jalan menjadi sebahagian dari kerajaan. Dengan kehendak Allah, UMNO dan BN yang cuma mempunyai 30 kerusi, ditakdirkan menjadi penentu dalam penubuhan kerajaan,” katanya.

Mohamad turut meminta semua pihak untuk tidak lagi menyebarkan pelbagai naratif yang mengelirukan dan harus menoktahkan segala kekeliruan serta bekerja seolah-olah kerajaan adalah milik UMNO dan dipimpin UMNO sepenuhnya.

Justeru beliau mencadangkan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri untuk menggunakan perhimpunan kali ini sebagai wadah memberikan saranan untuk mengemudi masa depan bersama rakan-rakan politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Mohamad turut menegaskan walaupun bersama dalam Kerajaan Perpaduan yang di dalamnya mempunyai 19 parti lain, UMNO akan tetap memperjuangkan Islam dan Melayu dalam kerangka ‘hubbul watan’ (cinta kepada tanah air) yang lebih sederhana serta lebih menghargai kepelbagaian Malaysia.

Selain itu, Mohamad berkata telah tiba masanya UMNO menyandarkan masa depan parti itu kepada generasi muda dan generasi penerus dengan lebih serius dan terancang, kerana generasi itu adalah penerus perjuangan bangsa serta penyambung kepada cita-cita nasional.

“Anda adalah asbab kenapa parti ini wujud dan berkelangsungan. Anda semua adalah sebahagian dari masalah dan solusi kepada Malaysia. Begitu juga kepada parti. Apalagi bila mengambil kira, arus penolakan anak mudalah yang menyebabkan UMNO tewas dan terjerumus dalam keadaan sebegini.

“Jadi kepada kepimpinan Pemuda dan Puteri, saya dan rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi insya-Allah, tidak akan memandang enteng dan mengambil mudah, peranan kalian dalam menguatkan kembali UMNO,” katanya. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit