Kerjasama Bukan Melayu Bukan Perkara Baharu, Telah Lama Dipraktikkan – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Kerjasama UMNO bersama rakan gabungan bukan Melayu bukanlah satu perkara baharu malah sekian lama telah dipraktikkan dalam usaha menubuhkan sesebuah kerajaan sepertimana sebelum ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata apa yang penting dan apa yang utama adalah masing-masing boleh menerima kehadiran UMNO apatah lagi dalam realiti serta suasana politik semasa hari ini.

Menerusi sesi Townhall anjuran Penerangan UMNO Malaysia hari ini sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023, beliau secara peribadi menyatakan bahawa negara hari ini sedang berdepan dengan realiti baharu.

“Secara peribadi pada saya, pertamanya sudah tidak ada lagi mana-mana parti politik yang terlalu besar untuk membentuk kerajaan tersendiri atau pun mana-mana blok politik yang dominan untuk bertahan. Kalau kita lihat semua parti telah menjadi kerajaan dan semua parti telah bekerjasama sebagai pembangkang dan sebagaianya.

“Jadi perkara yang paling realistik dan praktikal serta pragmatik yang perlu berasaskan kepada realiti ini ialah UMNO mesti bersedia dengan mana-mana parti yang menghormati dan menerima UMNO. Itu realiti kita yang pertama,” katanya.

Townhall Penerangan UMNO Malaysia dihoskan sendiri oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said. Turut bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Selain Khaled, dua lagi Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut menjadi ahli panel selain Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang turut berkongsi pentas memberikan penerangan terkini parti khususnya langkah membentuk Kerajaan Perpaduan bersama rakan baharu Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti lain.

Kata Khaled lagi, realiti kedua ialah keadaan politik semasa negara mengukuhkan ungkapan dan juga pemerhatian yang menyimpulkan bahawa dalam politik ini, hari ini kawan esok lawan dan hari ini lawan besok boleh menjadi kawan.

Jadi tambahnya lagi berasaskan kepada itu bagi UMNO, parti mesti mempunyai pelan serta idea bagaimana mahu memimpin dan membangunkan orang Melayu serta seluruh rakyat dan negara Malaysia seluruhnya serta sedia bersama dengan mana-mana parti yang mahu bekerjasama untuk menjayakannya.

“Realiti ketiga yang perlu kita lihat dan berlapang dada iaitu untuk membentuk kerajaan dan berkuasa…kita tidak ada pilihan…kita mesti bekerjasama dengan bukan Melayu. Kita tidak boleh bersendirian dan soal UMNO bekerjasama dengan bangsa lain bukan baharu.

“Sekarang ini MCA, MIC dan termasuk Dap. Yang paling penting mereka terima kita dan inilah realiti politik. Kadang-kadang ada komen…kalau kita bersendirian boleh bentuk kerajaan…itu bukan berasaskan kepada realiti. Daripada awal dulu kita memang bekerjasama dengan bukan Melayu. Hanya kali ini…MCA masih ada, MIC masih dan kali ini kita tambah dengan Dap. Itu sahaja,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.