Harapan PAU 2023 Bersama Harungi Cabaran Dan Mencari Formula Menang PRN – Haryaty

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Perkembangan politik semasa sememangnya membimbangkan namun semua ini pastinya akan dapat diharungi dengan tekad yang tersemat dalam anggota parti untuk sama-sama memastikan survival UMNO.

Demikian tegas Exco Wanita UMNO, Datuk Haryaty Hamdzah dalam menggamit semangat perjuangan ahli-ahli parti menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

Katanya, apa yang penting adalah perpaduan untuk terus berpadu, persefahaman dan kesatuan di kalangan anggota parti apatah lagi selepas ini parti akan mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka tidak lama lagi.

“Perjuangan UMNO berteraskan realiti, kita mempunyai ‘track’ rekod mentadbir, kita bersandarkan perancangan dan strategi untuk melihat masa hadapan parti dan negara yang lebih baik.

“Kerana itulah kita perlu terus bersepakat dan melalui PAU 2023 ini maka kita bentuklah kesatuan agar UMNO dapat diperkukuh dan kita siap siaga, bertekad untuk menang selaku jentera dalam PRN di enam negeri kelak,” katanya kepada UMNO Online

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka menegaskan bahawa segala perkara yang melanda parti memberi kematangan bagi mereka yang melalui dan merasainya.

“Kita telah melalui pelbagai cabaran dan PAU 2023 ini menyaksikan perubahan apabila kita bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kerana itu, komitmen 19 parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan membentuk kekuatan Malaysia menghadapi cabaran luar. Kerjasama ini adalah bukti dinamika dan keterbukaan UMNO dalam menjalinkan kerjasama tanpa mengenepikan prinsip perjuangan.

“Selamat bersidang para perwakilan dan keluarga besar UMNO dan marilah kita terus kukuh serta bersemangat dalam usaha memartabatkan agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bakal berlangsung pada 7 sehingga 10 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.

Perhimpunan ini akan mengumpulkan para perwakilan daripada 191 bahagian seluruh Malaysia sebagai tanda manifestasi kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.