Bersama Kerajaan Perpaduan Demi Survival UMNO… Prinsip Islam, Melayu Terus Jadi Dukungan Utama – SUA

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa kerjasama dalam membentuk Kerajaan Perpaduan adalah demi survival parti keramat ini.

Menurut beliau, namun keputusan tersebut juga dilakukan berlandaskan prinsip perjuangan UMNO yang didukung sejak awal penubuhannya.

“Kita memikirkan survival UMNO hendak pilih sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

“Ini bukan soal titah Yang di-Pertuan Agong sahaja, memikirkan soal survival kita mengenai soal bagaimana kita hendak bangkit kembali. Jika kita dengan PN pasti habis.

“Apa sahaja keputusan kita berpegang kepada prinsip UMNO, soal Islam, Melayu, Bumiputera, Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu dan itu tidak boleh berkompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program ‘Townhall Penerangan UMNO’ di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pagi tadi.

Dr Asyraf dalam pada itu turut sama mengajak ahli parti untuk bersama bangkit kembali dalam mendepani dinamik politik hari ini dengan bersikap realistik.

Jelas beliau, ini kerana ujian yang diberikan Allah membawa hikmahnya yang tersendiri dan perlu dijadikan pembakar semangat demi membawa perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Bagaimana kalau UMNO boleh bangkit kembali, macam saya cakap daripada awal fokus kita adalah untuk menjadi realistik, jangan jadi angkuh dan sombong.

Kami segala pergilirkan saat kamu menang, saat kamu kalah untuk kamu berifkir, bila kamu kalah boleh bangkit’ Allah turunkan pula ayat selepas itu ‘jangan kamu terus berduka cita, jangan gunda gelana, kamu akan diberikan semula kemenangan diangkat semula oleh Allah sekiranya kamu benar-benar beriman.

”Beriman dalam konteks ini adalah kembali kepada landasan perjuangan kita, cukuplah bergaduh antara satu sama lain, cukuplah tembak diri sendiri, cukuplah viral dan serang pemimpin kita.”

Dr Asyraf malah menambah perbalahan dalam kalangan ahli UMNO adalah kesempatan yang akan dimanfaatkan oleh pihak lawan bagi menggeruhkan hubungan kekeluargaan dimiliki parti selama ini.

“Saya tidak nampak orang serang Pas, atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia sekarang ini tetapi orang serang presiden dan kepimpinan parti kita dan itulah yang dikehendaki oleh musuh.

“Mereka mahu kita tembak sama sendiri, kalau itu yang berlaku jangan cakap soal perjuangan, jangan cakap kita inilah yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air … tak guna begitu kerana cakap tak serupa bikin.

“Allah kata ‘jangan kamu berbalah-balah, berbantah-bantah kerana kelak musuh akan menang ke atas kamu’ “ ujar beliau lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit