Badruddin Harap UMNO Bergerak Seiring Zaman, Tanpa Lupakan Sejarah Perjuangan

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin berharap pada setiap Perhimpunan Agung UMNO (PAU), parti akan bergerak mengikut peredaran masa namun tidak sesekali melupakan segala pengorbanan dan sejarah lampau dalam melahirkan UMNO.

Beliau yang ditemui sejurus selepas raptai PAU semalam berkata, segala persiapan dilakukan untuk menjayakan PAU 2023 ini diadakan dengan sangat teratur dan tersusun.

“Alhamdulillah, syukur saya menghadiri raptai persiapan untuk persidangan sayap dan Perhimpunan Agung UMNO. Saya dapat lihat bahawa pihak urus setia dan Setiausaha Agung UMNO yang baharu bertungkus-lumus supaya majlis kita ini berjalan dengan baik, tersusun dan mengikut waktu. Saya berdoa ke hadrat Allah agar persidangan ini diberkati dan diredhai Allah.

“Sebagai orang lama, memang saya ingin melihat di PAU setiap tahun UMNO menuju ke arah mengikut peredaran masa dan ketika.

“Walau bagaimanapun, generasi-generasi akan datang jangan lupa menoleh ke belakang dan melihat susah senang para pejuang untuk melahirkan UMNO pada hari ini,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, selepas tujuh dekad UMNO ditubuhkan, pelbagai kejayaan yang telah dinikmati hasil perjuangan parti sehingga dapat membangunkan negara ini.

“Setelah 70 tahun UMNO ditubuhkan, inilah nikmat-nikmat diperolehi melalui dasar-dasar yang diperjuangkan oleh UMNO dan telah diimplikasikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita dapat melihat bagaimana negara membangun daripada seorang anak petani menjadi seorang usahawan yang berjaya, anak nelayan menjadi peguam dan anak penoreh getah menjadi pensyarah.

“Inilah perjuangan UMNO yang bersusah payah menebus maruah agama dan bangsa dijajah suatu ketika dahulu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan agar ahli-ahli UMNO sentiasa bermuafakat demi memastikan perjuangan parti dapat diteruskan.

“Saya berharap agar ahli-ahli UMNO terus bermuafakat, mewujudkan semangat kasih sayang dan memastikan perjuangan ini diteruskan demi masa hadapan anak cucu kita. Apa yang paling penting, lakukan kerana Allah untuk terus mendukung agama Islam.

“Kita terus berdoa semoga kalimah Allah akan terus dipertahankan oleh UMNO kerana Allah,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bakal berlangsung pada 7 sehingga 10 Jun ini dan ianya akan mengumpulkan wakil para perwakilan daripada 191 bahagian seluruh Malaysia sebagai tanda manifestasi kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa PAU pada tahun ini diadakan lebih awal kerana selepas itu akan diadakan sesi jelajah ke negeri-negeri yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan menggerakkan jentera. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.