Raptai Berjalan Lancar, PAU 2023 Nanti Kehadiran Perwakilan Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Raptai bagi upacara perasmian persidangan Wanita dan Pergerakan sayap Pemuda dan Puteri serta Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang diadakan pada petang tadi berjalan dengan lancar serta teratur.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau mendoakan agar segala perancangan yang telah dilakukan oleh kakitangan ibu pejabat UMNO dapat diselesaikan sehingga hari terakhir PAU.

“Alhamdulilah saya melihat bahawa segala perancangan dan persiapan yang dilakukan oleh kakitangan Ibu Pejabat UMNO selaku Urus Setia berjalan dengan amat baik.

“Kita doakan agar segalanya berjalan dengan lancar bermula daripada esok sehinggalah berakhirnya persidangan sayap-sayap dan PAU pada hari Sabtu nanti,” katanya kepada UMNO Online.

Untuk memeriahkan lagi PAU 2023 ini, beliau turut mengalu-alukan kehadiran seluruh perwakilan dengan harapan agar mereka menggunakan platform ini untuk bermuhasabah dalam menjadikan UMNO parti teras kepada agama, bangsa dan tanah air.

“Saya mengalu-alukan kehadiran semua perwakilan, pemerhati, ahli keluarga besar UMNO tidak kira sama ada yang menjadi perwakilan ataupun tidak, datanglah beramai-ramai ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Ibu Pejabat UMNO untuk kita bersama-sama menghadiri serta memeriahkan PAU 2023.

“Jadikan PAU ini sebagai medan untuk kita bersama-sama bermuhasabah dan memperbaharui tekad serta azam kita untuk terus melonjakkan UMNO sebagai parti yang akan terus memelihara kepentingan agama, bangsa, tanah air,” katanya lagi.

 

Raptai penuh bagi perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 dan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berjalan lancar di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Bermula pada jam 3.00 petang tadi, raptai ini dikendalikan oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan dan turut dihadiri oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi serta kakitangan Ibu Pejabat UMNO selaku urus setia persidangan.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bakal berlangsung pada 7 sehingga 10 Jun ini dan ianya akan mengumpulkan wakil para perwakilan daripada 191 bahagian seluruh Malaysia sebagai tanda manifestasi kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa PAU pada tahun ini diadakan lebih awal kerana selepas itu akan diadakan sesi jelajah ke negeri-negeri yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan menggerakkan jentera. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.