PAU 2023 Mampu Gariskan Panduan Untuk Ahli Parti – Naim Moktar

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang bakal berlangsung mulai 7 hingga 10 Jun ini, penting bagi menyediakan parti menghadapi enam negeri yang bakal hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Mohd Kurniawan Naim Moktar yakin pendekatan politik baharu yang progresif dan matang oleh ahli-ahli UMNO dapat dibuktikan pada PRN mendatang.

“Saya yakin dan percaya ahli-ahli UMNO semuanya telah matang berpolitik dan pada PAU ini pasti akan menggariskan satu garis panduan yang baharu bagi menyelesaikan segala permasalahan serta dapat dibuktikan pada enam negeri yang bakal hadapi PRN.

“Ahli parti menunjukkan semangat yang kuat dan jitu untuk terus kekal bersama-sama dengan parti. Tidak kira ribut yang melanda dan percaya selepas selesai PAU ini akan terus berkerjasama dengan parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan bagi memenangi PRN.

“PAU ini memberikan sebuah nafas dan perjuangan yang baharu agar parti ini terus kekal relevan dan pasti akan memberikan satu suntingan semangat yang baharu kepada ahli parti,” beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan berkata, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang dilaksanakan baru-baru ini mendapat sambutan yang menggalakkan bagi semua parti di dalam kerajaan.

“Sambutan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan ini terutamanya di kalangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sungguh memberangsangkan. Ini merupakan satu langkah solidariti untuk mengembalikan kerajaan bagi memacu ekonomi negara seperti dahulu.

“Konvensyen sungguh berjaya dan memberikan nilai positif serta tambah kepada parti UMNO. Ianya juga turut memberikan satu suntikan semangat yang baharu pada ahli parti,” ujarnya.

Terdahulu Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan pada 14 Mei lalu telah mencipta sejarah apabila 19 parti politik bergabung dalam konvensyen tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.