Hisham Suhaily Harap Para Perwakilan PAU 2023 Sedia Hadapi PRN Enam Negeri

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Exco Wanita UMNO Malaysia, Hisham Suhaily Othman berharap agar semua perwakilan berada dalam keadaan bersedia lebih-lebih lagi apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal menjelang dalam masa terdekat.

Ujarnya, sudah semestinya PAU kali ini juga akan berkisarkan persiapan dan persediaan enam negeri yang bakal berhadapan dengan PRN, melibatkan para jurucakap daripada negeri-negeri berkenaan.

“Umum telah mengetahui bahawa kita akan menghadapi PRN di enam buah negeri tidak lama lagi.

“Sudah pastinya pada kali ini persiapan dan juga persediaan menghadapi PRN, saya lihat dari segi jurucakap-jurucakap kepada enam negeri ini mungkin bertumpu kepada bagaimana untuk kita mempersiapkan bahagian masing-masing memandangkan kita hanya ada beberapa bulan sahaja lagi untuk menghadapinya,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut berharap agar segala buah fikiran dapat dizahirkan daripada negeri-negeri yang terlibat agar para perwakilan dari negeri lain dapat membantu mereka sepanjang PRN berlangsung.

“Kami mengharapkan pada kali ini kita mendapat banyak buah fikiran daripada negeri-negeri yang akan menghadapi PRN agar negeri lain juga tahu apa persiapan perlu lakukan untuk turun membantu bahagian-bahagian diperlukan.

“Apabila PAU ini dapat mengumpulkan kesemuanya sekali, kita harapkan mereka berada dalam keadaan bersedia.

“Negeri-negeri yang bakal menempuhi PRN, mereka sudah tahu apa yang mereka perlu lakukan manakala negeri membantu pun telah bersedia memberikan bantuan kepada mereka,” katanya lagi.

Enam negeri akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi berikutan kerajaan negeri-negeri tersebut tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Negeri yang terlibat adalah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.