Usaha Pembangkang Jatuhkan Kerajaan Perpaduan Akan Rugi Dan Susahkan Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berharap agar pembangkang bijak dalam menjadi semak yang imbang kepada kerajaan dan bukannya bersikap tamak kuasa sehingga menjalankan gerakan untuk menjatuhkan kerajaan.

Jelas beliau ini kerana, tindakan tersebut hanya merugikan ekonomi negara dan sekaligus menjejaskan rakyat.

“Kebelakangan ini semakin kuat angin bertiup berkenaan gerakan yang dilakukan oleh pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang sah dipilih oleh rakyat pada PRU15 yang lalu.

“Perkara ini menjadi lebih parah lagi apabila pembangkang terus memomokkan rakyat dengan khabar angin langkah-langkah yang dilakukan untuk menjatuhkan kerajaan serta memberikan bilangan ahli Parlimen yang bersama mereka untuk meruntuhkan kerajaan sedia ada.

“Sedikit nasihat buat pembangkang, jadilah pembangkang yang membawa hasrat rakyat serta menjadi pengimbang dalam pentadbiran. Jadilah pembangkang yang berwibawa dengan memberikan cadangan dan teguran kepada kerajaan dalam menjadikan negara kita sebagai sebuah negara yang maju dan stabil.

“Janganlah menjadi pembangkang yang hanya tahu menghasut rakyat dan tamakkan kuasa sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan serta mengambil alih kerajaan. Hal ini kerana, yang akan merana di kemudian hari juga adalah rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau lagi, ini kerana fitnah serta gerakan untuk merampas kuasa adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab serta menggangu gugat kestabilan negara.

“Imam Nawawi pernah berpesan bahawa maksud utama dalam hal pentadbiran negara adalah wujudnya kesatuan dan perpaduan dalam masyarakat dan negara.

“Sesebuah negara akan bertahan lama dan dilihat berjaya jika golongan elit sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang dapat bekerjasama dengan baik dalam membina sebuah negara yang tercinta.

Shahrul dalam pada itu turut menyenaraikan beberapa impak besar kepada rakyat dan negara sekiranya gerakan menjatuhkan kerajaan dilakukan secara berterusan:

1. Kurangnya keyakinan Pelabur Luar untuk melabur dalam negara

Pelabur luar akan melihat pelbagai aspek termasuk politik untuk melabur dalam sesebuah Negara. Kestabilan politik adalah merupakan perkara utama yang menjadi penilaian mereka. Hal ini kerana, tanpa kestabilan politik yang baik akan menyebabkan polisi kerajaan berubah-ubah dan akan menyukarkan pelabur. Perkara ini sudah semestinya akan merugikan pendapatan Negara.
Daripada sudut rakyat pula, kemasukan pelabur luar sudah semestinya hadir bersama peluang pekerjaan. Ketidakstabilan politik yang wujud ini akan menyebabkan pelabur luar tidak yakin untuk melabur sekaligus menghilangkan peluang pekerjaan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Negara kita.

2. Kemerosotan penilaian prestasi negara

Setelah mengharungi pelbagai isu di peringkat global, negara kita baru sahaja memulakan nafas serta langkah baharu untuk memulihkan prestasi negara dimata dunia. Walau bagaimanapun, gerakan yang dilakukan pembangkang ini akan memperlihatkan bahawa Negara kita ini masih tidak mencapai kestabilan dalam politik walaupun telah melalui proses demokrasi dalam memilih Kerajaan selepas PRU-15. Pasaran saham juga akan merudum dengan pelbagai spekulasi pembangkang yang tidak bertanggungjawab ini.

3. Pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 terbantut

Pelbagai usaha kerajaan lakukan untuk memastikan ekonomi negara berada pada landasan semula setelah beberapa tahun mengharungi era COVID-19. Namun begitu, usaha ini sudah semestinya akan terbantut dengan gerakan serta usahan yang dilakukan oleh pembangkang yang tamakkan kuasa untuk menjatuhkan serta merampaskan kedudukan kerajaan perpaduan yang sedia ada.

Suasana politik yang tidak stabil ini akan menyukarkan usaha kerajaan untuk menarik pelabur serta menetapkan sebarang polisi ekonomi bagi memulihkan ekonomi negara. Perkara ini sudah semestinya akan menyebabkan negara akan kehilangan peluang-peluang pelabur serta pendapatan negara yang berjumlah berbilion ringgit. Jumlah ini juga sepatutnya dapat digunakan untuk memberikan kesenangan kepada rakyat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.