Jangan Biar Pemilihan Jejas Gerak Kerja PRN – Rosni

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Sohar berharap agar Wanita UMNO memberikan fokus kepada persiapan menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak membiarkan pemilihan menjejaskan gerak kerja yang telah dijalankan.

Jelasnya, tohmahan yang sedang berlegar mengenai Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad diminta berundur adalah tidak benar.

“Pelbagai tohmahan telah berlegar di media sosial tentang sokongan terhadap Ketua Wanita UMNO Malaysia. Ada tabloid yang mengeluarkan kenyataan kononnya wanita dari Bahagian tertentu minta Datuk Seri Noraini untuk berundur diri.

“Ada juga yang mengatakan bahawa Datuk Seri telah memanggil mesyuarat memaksa Ketua Wanita Negeri menyatakan sokongan dari setiap Wanita Bahagian. Tak kurang juga yang telah mengeluarkan angka sokongan terhadap individu yang ingin bertanding.

“Saya ingin tegaskan disini bahawa tohmahan semua ini adalah tidak benar sama sekali. Tiada mesyuarat Ketua Wanita Negeri diadakan seperti yang di khabarkan. Jauh sekali paksaan pada Ketua Wanita Negeri untuk memberi sokongan pada Datuk Seri Noraini. Angka yang disebutkan juga adalah tidak benar,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Rosni, sokongan yang dinyatakan oleh kebanyakan negeri terhadap Noraini dan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Rahim adalah dengan kerelaan mereka sendiri.

“Kebanyakan negeri yang menyatakan sokongan mereka terhadap Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Datuk Norliza Rahim untuk terus menerajui Wanita UMNO Malaysia adalah dengan kerelaan mereka sendiri. Seiring dengan usul yang dibawa di Perhimpunan Agung Wanita yang lalu.

“Saya harap Wanita UMNO agar lebih fokus kepada persiapan untuk PRN di enam negeri yang bakal tiba. Wanita perlu tumpukan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan gerak kerja Jalinan Rakyat (JR) di enam negeri tersebut. Jangan biarkan pemilihan menjejaskan gerak kerja yang telah dijalankan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.