Kerajaan Timbang Cadangan Tubuh Ombudsman Malaysia – Azalina

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Kerajaan akan menimbangkan cadangan bagi penubuhan ‘Ombudsman Malaysia’ iaitu sebuah badan bebas bagi menangani aduan orang ramai mengenai agensi-agensi kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia selari dengan agenda Kerajaan Perpaduan yang mementingkan ketelusan dan integriti.

“Salah satu masalah ialah kita tahu bahawa para pegawai kerajaan ni ada perlindungan di bawah perlembagaan, tak boleh buang (jika melakukan kesalahan), paling teruk pun mereka hanya ditukarkan sahaja, jadi bila orang ramai tak puas hati, mereka boleh bawa aduan tu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bengkel Reformasi Institusi bersama Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di sini hari ini.

Justeru beliau berharap bengkel hari ini dapat memberi cadangan dan mengumpul pandangan bagaimana penubuhan badan itu boleh direalisasikan.

Sebelum ini penubuhan badan berkenaan pernah dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018 bagi menukar status Biro Pengaduan Awam (BPA) sebagai usaha memastikan tindakan ke atas pengaduan berkaitan kementerian dan agensi kerajaan dapat ditangani dengan lebih efektif.

Sementara itu dalam ucapannya di bengkel berkenaan Azalina berkata, sistem bantuan guaman sedia ada iaitu Jabatan Bantuan Guaman dan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan akan dikaji semula untuk meningkatkan mutu perkhidmatan serta akses kepada keadilan, dan Akta Bantuan Guaman 1971 pula akan dipinda sekiranya perlu.

Selain itu, katanya bagi menyesuaikan situasi negara pada era Revolusi Industri 4.0 dan pasca pandemik COVID-19, daya persaingan ekonomi Malaysia perlu dipertingkatkan bukan sahaja dari segi infrastruktur maklumat tetapi juga dari segi kerangka undang-undang.

Justeru, katanya Akta Profesion Undang-Undang 1976, Akta Jualan Barang 1957, Akta Kontrak 1950 dan Akta Insolvensi 1967 akan disemak semula.

Sementara itu Azalina menegaskan sesi bengkel hari ini amat signifikan, selaras dengan komitmen cadangan penubuhan pasukan petugas khas (PPK) mengenai reformasi institusi sebelum ini.

“Tujuan penubuhan PPK adalah untuk meneliti, mengkaji dan mencadangkan reformasi institusi termasuk mekanisme pelaksanaan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

“Ciri-ciri unik pasukan petugas khas ini ialah keahliannya juga termasuk pihak-pihak berkepentingan seperti wakil CSO/NGO untuk memastikan penglibatan yang bermakna (meaningful engagement) daripada pihak-pihak berkempentingan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.