UMNO Terbuka… Tidak Pernah Halang Sesiapa Tandingi Jawatan Tertinggi Parti – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 12 Jan – UMNO tidak pernah menghalang sesiapa untuk bertanding jawatan tertinggi parti meskipun terdapat 140 bahagian mengusulkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil berkata, inisiatif dan usul yang dibawakan oleh Ketua-Ketua Bahagian ini adalah untuk melindungi parti ketika situasi politik negara masih berada dalam keadaan kritikal.

“Saya mendapat makluman bahawa sebanyak 140 Ketua Bahagian telah menyatakan pendirian mereka supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dicabar. Kita ada 189 bahagian pada ketika ini kerana dua bahagian telah digantung iaitu Arau dan Tanah Merah.

“Lebih daripada dua pertiga Ketua UMNO Bahagian mencadangkan supaya dua jawatan ini tidak dicabar. Saya nak jelaskan juga ini tidak bermaksud kita halang sesiapa daripada bertanding. Saya dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dah buat kenyataan banyak kali. Kita tiada apa-apa cadangan untuk meminda perlembagaan supaya jawatan tersebut tidak dipertandingkan.

“Maksudnya, siapa nak bertanding, bertandinglah. Cuma ini atas inisiatif dan usul yang dibawa oleh Ketua-Ketua Bahagian sebabnya mungkin mereka tahu pada masa yang kritikal ini akan huru-hara UMNO,” katanya dalam satu sidang media di Laman Media, sebentar tadi.

Menurut Isham, keadaan Kerajaan Perpaduan yang masih rapuh itu turut menyumbang kepada inisiatif 140 ketua bahagian berpendirian agar jawatan tersebut tidak dipertandingkan.

“Kita baru masuk Kerajaan Perpaduan dan kerajaan ini masih rapuh pada saya. Kalau dalam pemilihan ini berlaku perkara yang tidak diingini, mungkin kerajaan yang ada sekarang ini bakal tumbang.

“Ada juga naratif yang dibawa menyatakan bahawa kita nak halang sesiapa daripada bertanding. Untuk makluman, parti-parti lain sebelum ini tidak mempertandingkan jawatan Presiden mereka tetapi kita laksanakan juga pada tahun 2018.

“Secara peribadi saya nak cadangkan sesiapa yang nak bertanding jawatan tertinggi ini supaya mengumumkan diri dengan awal. Lagi awal lagi bagus,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan bahawa seramai 140 Ketua Bahagian UMNO menyatakan solidariti agar jawatan presiden yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung UMNO yang dijangka Mei nanti.

Mewakili kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.

Beliau berkata tumpuan UMNO ketika ini perlu terarah kepada memperkukuh parti daripada pelbagai peringkat untuk berdepan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.