UMNO Perlu Terbuka Laksana Strategi Terbaik Pastikan Perjuangan Terus Relevan – Norliza

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim percaya bahawa UMNO perlu terbuka dalam melaksana strategi terbaik bagi memastikan asas perjuangan parti keramat ini terus relevan didukung.

Katanya ini kerana, parti perlu mencari perspektif berbeza berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan bahawa rakyat inginkan pembaharuan.

“Kita kena memikirkan dahulu bagaimana memantapkan kembali UMNO supaya menjadi pilihan dan tidak boleh melihat dengan skop dahulu iaitu azam menjadi dominan sahaja, tidak boleh.

“Melayu menolak UMNO buat masa ini, perkara yang sama kita terima daripada kaum bukan Melayu jadi untuk kelansungan UMNO itu maka kita perlu lebih terbuka.

“Sebab sekarang ini politik berubah seperti yang dikatakan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana kalau kita lihat di negara-negara luar juga mempunyai kerajaan yang terdiri daripada parti-parti yang bercampur.

“Jadi saya rasa rakyat Malaysia telah menunjukkan bahawa mereka telah matang membuat pilihan dirasa terbaik untuk negara, kita terima ini adalah signal daripada rakyat kerana kita juga mempunyai kelemahan-kelemahan tetapi terus kehadapan,” katanya.

Norliza berkata demikian sejurus ditemui selepas perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Mohamad Hasan, malam tadi.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang berkata, meskipun UMNO bersama dengan Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada pelbagai ideologi politik namun asas perjuangan parti yang juga terkandung dalam perkara-perkara Perlembagaan negara akan kekal dipelihara.

Jelas beliau ianya perlu kekal dipelihara di samping memastikan kesejahteraan dan ekonomi negara seiring terutama pasca pemulihan selepas negara berhadapan dengan kemelut global serta penularan pandemik.

“UMNO dari dahulu visi dan misi tidak pernah berubah jadi kesejahteraan, keharmonian rakyat, kepentingan Bumiputera dan agama Islam adalah keutamaan.

“Apa sahaja gabungan disertai ini adalah asas kita, cuma sekarang rakyat mempunyai banyak pilihan jadi UMNO kena ubah cara berfikir jadi inovatif, sertai parti lain walau ideologi berbeza namun demi membangunkan Malaysia kita bersama-sama.

“… kerana seperti dikatakan Timbalan Presiden, kita perlukan negara yang stabil dengan keadaan sekarang ini COVID-19, inflasi, ekonomi merudum. Jadi kita kena bangunkan Malaysia ini dan buat keputusan terbaik yang penting perjuangan serta hala tuju UMNO itu tidak lari daripada landasan sejak UMNO ditubuhkan,” ujar beliau.- UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.