UMNO Perlu Lebih Kreatif, Strategi Dan Dinamik Untuk Memenangi Hati Rakyat

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Kepimpinan UMNO perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran untuk meningkatkan pengaruh khususnya di semua kawasan, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.

Jelasnya, sambil menyatakan keperluan untuk parti mendekatkan diri dengan generasi muda agar tampak lebih moden, progresif, strategi dan dinamik.

“Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan memberikan satu naratif baharu yang harus alami. UMNO perlu ambil pendekatan lebih kreatif, mendalam dari segi ‘approach’ untuk mendapatkan hati rakyat.

“Ini nampak jelas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, UMNO telah tewas dengan begitu teruk sehingga parti ini mempunyai 26 kerusi Parlimen dan ini dapat menjelaskan bahawa strategi parti ini harus lebih dinamik.

“Beliau (Timbalan Presiden) telah melontarkan pandangan kepada semua sayap-sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri bahawa pendekatan akan datang harus lebih kreatif dan dinamik supaya dapat memenangi hati demografi ahli UMNO dan masyarakat,” katanya.

Beliau ditemui UMNO Online selepas Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Rabu malam.

Terdahulu PAU 2022 sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember bagaimanapun ditangguhkan kerana bertembung dengan cuti persekolahan.

Penganjuran kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyaksikan kehadiran ketua penerangan bahagian dan sayap selaku pemerhati khas selain kehadiran perwakilan UMNO seramai 2,838 daripada seluruh negara. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.