Tolak Budaya Pentingkan Diri, Utamakan Institusi Parti – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Ahi parti khususnya Pemuda UMNO disaran agar menolak budaya yang mementingkan diri sendiri kerana ianya tidak memberi apa-apa kelebihan dan manfaat kepada UMNO sebaliknya bakal mendatangkan kemudaratan yang berpanjangan.

Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata pada masa yang sama politik naungan dan politik adu domba yang saling membenci antara satu sama lain perlu diketepikan sepenuhnya untuk kepentingan semua pihak.

“Buang dan tolak budaya lama yang mementingkan diri sendiri dari parti. Buang dan tolak kesetiaan kepada individu dan bukan institusi parti. Buang dan tolak politik naungan, mengadu domba dan benci.

“Pemuda harus terbuka… terbuka dengan idea baharu agar kita tidak ketinggalan di dalam dunia dan pemikiran rakyat yang sangat pantas berubah mengikut trend semasa. UMNO harus menjadi fleksibel di dalam iklim politik negara yang dinamik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyokong usul ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada perhimpunan agung pergerakan itu, di sini, hari ini.

Seterusnya menerusi ucapan itu juga, Hasmuni yang juga Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu turut mengusulkan beberapa syor segera untuk diambil perhatian dalam usaha mendepani cabaran yang akan dihadapi nanti.

“Saya juga mengusulkan beberapa syor segera untuk kita persetujui bersama iaitu Skuad Sabil akan diteruskan dan diperkasakan di semua peringkat. Keduanya Putera UMNO akan diaktifkan di seluruh 191 Bahagian dalam tempoh satu bulan dari hari ini dan UMNO Siswa perlu diwujudkan di seluruh 191 Bahagian,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan kesetiaan kepada parti adalah tunjang kepada segala-galanya kerana tanpa kesetiaan ianya tidak akan ke mana dan tidak akan memberi manfaat kepada perjuangan hari ini.

“Perlu diingatkan bahawa kesetiaan pada parti lah yang menjadi tunjang dan pasak utama setiap pembaharuan. Tanpa kesetiaan, waima apa perubahannya, waima apa modenisasinya yang cuba dibawa, semua itu akan menjadi sia-sia sahaja.

“Inilah hakikatnya, walau apa jua alasan yang petualangpetualang yang saya sebutkan tadi cuba corakkan. Maka dengan itu, demi kestabilan parti, Pemuda memberi amaran tegas bahawa kami tidak kekok mendukung usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan yang akan datang sekiranya trend pengkhianatan dan kerosakan di dalam parti iniberterusan,” ujarnya.

Menerusi ucapan itu juga beliau turut mencadangkan agar pengkhianat parti diambil tindakan serius tanpa takut dan gusar, malah jika perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti, ‘then so be it… we don’t need them at all’.

“Ingatlah bahawa kestabilan parti umno ini amat penting bagi kestabilan Kerajaan Perpaduan. Kestabilan ini penting untuk periuk nasi rakyat dan proses pemulihan ekonomi negara,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.