Rakyat Beri Isyarat Jelas Mahukan Parti Yang Bersih, Relevan Serta Kepimpinan Berintegriti

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Wanita UMNO Selangor berpandangan bahawa rakyat telah memberi isyarat yang sangat jelas bahawa negara ini memerlukan sebuah parti yang bersih, relevan serta kepimpinan yang berintegriti stabil demi masa depan dan kemakmuran bersama.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Langat, Ruhani Kasim berkata ini adalah realistik dan UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu bangkit dan sedar untuk dilihat memikul semula tanggungjawab yang lebih besar, bermoral dan bermaruah.

Begitu juga katanya lebih membela kepada kepentingan rakyat, agama dan bangsa serta negara terutama dalam pemilihan UMNO yang mendatang, mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Walaupun kita telah mencapai kemenangan bermaruah di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, diulangi sekali lagi selepas PRN Melaka dan beberapa kemenangan penting dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) terdahulu sebelum ini.

“…namun PRU15 telah memberi isyarat jelas dan pengalaman bermakna betapa Wanita UMNO terutama Wanita UMNO Selangor terus cakna dengan kehendak ahli parti dan pengundi.

“Kita sebenarnya telah redha tetapi perancangan Allah Yang Maha Mengetahui telah mengatur betapa kita yang sekadar memenangi 30 kerusi (termasuk 25 kerusi yang dimenangi UMNO) telah membentuk menjadi sebahagian kerajaan Perpaduan ini,” katanya yang bertindak sebagai pembahas pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2022 sebentar tadi.

Dalam pada itu, Exco BNYV Malaysia, Siti Jamila Syuhada Jailani berpandangan nilai perpaduan sangat mustahak untuk menunjukkan kesepakatan dalam kalangan ahli terutamanya pimpinan atasan.

Katanya ini kerana realitinya rakyat terutama anak muda, menilai melalui kaca media sosial.

“…untuk memberi kepercayaan kepada rakyat, kita harus percaya dengan pimpinan atasan dahulu. Ada satu prinsip undang-undang yang kita boleh amalkan bersama: “Justice must not only be seen to be done but has to be seen, to be believed” – JB Morton.

“Justeru, besarlah harapan saya sebagai seorang anak muda yang jauh lagi perjalanannya dalam parti ini untuk melihat dengan kaca mata saya UMNO hari ini, esok dan selamanya bersatu-padu, bersama mempertahankan parti keramat ini walau sebesar mana badai yang akan datang,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.