Pertahankan Institusi Presiden Daripada Terus Dihujani Pelbagai Tohmahan – Nor Bhaiti

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Ketua Puteri UMNO Negeri Wilayah Persekutuan Nor Bhaiti Sabar berkata politik itu bukanlah perkara yang remeh dan mudah.

Katanya, kedudukan sebagai pemimpin adalah amanat dan mandat dari rakyat dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjuang mempertahankan UMNO walaupun dihujani dengan pelbagai tohmahan dan kejian.

“Apa yang lagi menyedihkan apabila Presiden UMNO, Datuk Serti Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bermati-matian selama ini mempertahankan UMNO dengan pelbagai spekulasi buruk dari dalam dan luar institusi.

“Benteng pertahanan institusi UMNO ketika itu lemah dan pelbagai tanggapan yang negatif tidak ditangkis dengan cepat. Isu dalaman yang sepatutnya diselesaikan secara profesional tapi dibongkarkan oleh golongan yang diibaratkan duri dalam daging.

“Imej UMNO dipersendakan sedangkan UMNO inilah yang telah meneraju kerajaan Malaysia sehingga disegani di mata dunia. Janganlah kita lupa atau buat-buat lupa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perbahasan di Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, di WTCKL hari ini.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Wangsa Maju menjelaskan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) UMNO telah dipuji melambung-lambung tetapi apabila tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU), semuanya menyalahkan Presiden UMNO.

“Pada PRK dan PRN, kita disorak penuh kegembiraan tetapi apabila UMNO tewas pada PRU ramai yang gopoh serta menyalahkan Presiden UMNO seolah-olah sebagai punca utama.

“Sedangkan dari awal lagi kita nampak serangan demi serangan dari pelbagai pihak terhadap beliau, pucuk pimpinan dan seluruh UMNO yang menyebabkan rakyat mulai kurang selesa dan menyukarkan untuk meraih kepercayaan pengundi khususnya anak-anak muda. Tambahan lagi apabila pengundi muda dikelirukan dengan kuasa wang,” ujarnya.

Ujarnya lagi, yang memburukkan keadaan lagi pengkhianat parti juga turut bersekongkol dalam politik wang.

Siapa yang bagi jumlah paling banyak dialah yang akan diundi, tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.