PAU 2022 Platform Terbaik Cari Solusi, Kesepakatan Bagi UMNO – Puteri UMNO Lipis

KUANTAN, 12 Jan – Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Lipis berpandangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 ini merupakan platform terbaik kepada parti dalam mencari solusi dan formula terbaik dalam memberikan nafas baharu kepada UMNO.

Ketuanya Norlisa Khalimi, berkata ini penting terutama selepas UMNO melalui fasa mencabar selepas Pilihan Raya Umum (PRU)15 yang lalu namun berbekalkan semangat membela nasib rakyat UMNO berlapang dada bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya harap semua pimpinan sekarang dan akan datang dapat mencari satu solusi serta bersepakat dalam PAU.

“Kita sudah tahu situasi parti ini selepas PRU15, UMNO hanya dapat memenangi 26 kerusi Parlimen, walaupun hanya menang sebanyak itu malah ianya sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Beliau pada masa yang sama turut meluahkan kesyukuran kerana PAU 2022 ini julung kalinya menerima Ketua Penerangan Bahagian, Wanita dan sayap-sayap serta Perhimpunan Agung Khas UMNO bagi meminda dua usul Perlembagaan UMNO.

“Saya ingin menyeru semua perwakilan UMNO dalam Malaysia untuk sama-sama hadir ke PAU yang akan diadakan pada 11 hingga 14 Januari ini.

“Pada kali ini juga diadakan Perhimpunan Agung Khas UMNO malah Ketua Penerangan Bahagian telah dijemput bersama-sama untuk menjadi pemerhati.

“Saya harap semua perwakilan UMNO seluruh Malaysia untuk sama-sama memberikan sokongan dan hadir dengan semangat serta jiwa yang baharu,” ujar beliau.

Terdahulu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan penganjuran PAU kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyaksikan kehadiran Ketua-ketua Penerangan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri selaku pemerhati khas.

Ianya juga turut menyaksikan Taklimat Presiden yang diadakan kembali pada PAU 2022, bakal menambahkan lagi kemeriahan dan semangat dalam kalangan perwakilan yang hadir. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.