Mohamad Seru Semua Ahli Iltizam, Tanam Azam Baharu Pulihkan UMNO

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru semua perwakilan dan ahli parti agar sama-sama beriltizam dan tanam azam baharu demi memulihkan kembali UMNO.

Katanya, azam untuk mengembalikan semula UMNO menjadi parti paling bersih, berwibawa dan berkesan dalam mewakili kepentingan Melayu, Malaysia dan Islam.

Namun begitu ujar Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, azam yang menebal dan menggunung mesti disandarkan kepada kecekalan untuk melaksanakannya serta beberapa perkara penting mestilah dilakukan.

“Pertama, UMNO yang susut memerlukan dukungan semua. UMNO, pada saat ini berada pada kedudukan paling susut dan kritikal dalam perjalanan panjangnya. Maka, tugas dan amanah kita pada kali ini amat berat. Berat mata memandang, berat lagi bahu kita yang memikul.

“Kedua, mengembalikan UMNO ke kedudukan terbaik akan mengambil masa. Sejujurnya, tiada rumus yang mudah dan tepat yang boleh diambil dari dalam laci pejabat untuk terus digunakan. Ia mesti difikirkan dengan fokus dan pendekatan yang terbaik. Lebih-lebih lagi dinamik politik Malaysia dan global sangat deras perubahannya,” kata Mohamad lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini malam ini.

Seterusnya, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan meminta semua ahli UMNO bersedia melalui jalan yang sukar dan berliku itu.

“Dengan kental, dengan sabar. Seperti yang pernah dipamerkan para pendiri UMNO terdahulu. Mereka merintis jalan menubuhkan UMNO tanpa punya apa-apa sehinggalah UMNO menjadi parti yang memerintah selama enam dekad.

“Kita akan menempuh jalan yang berliku, bersimpang siur dan mendaki. Akan ada masanya kita mungkin akan menemui jalan buntu dan persimpangan yang sukar. Tetapi, kami akan memberikan kepimpinan yang terbaik dalam kudrat dan kemampuan kami. Agar biar apa pun yang menanti di hadapan kita akan tempuh dan lalui bersama dengan penuh bertanggungjawab.

“Cuma, janganlah sesekali mengharapkan kejayaan pantas. Jika kita harus menempuh gelora yang luar biasa dan denai yang beronak maka tempuhlah. Tetapi yakinlah sabar dan tabah itu,jodohnya bahagia,” katanya.

Manakala ketiga katanya, dalam membangun semula UMNO sebagai parti yang berwibawa dan diyakini mesti dicari pendekatan luar biasa.

“Meneroka samudera luas, mencari pelbagai potensi yang tidak pernah terjangkau dan terfikir. Kita mesti melakukan perkara di luar kelaziman. UMNO memerlukan kecerdasan yang baru. Bukan lagi naratif dan slogan kosong.

“Bukan sekadar meraih kepercayaan tetapi menterjemahkan pertanggungjawaban. Bekerja keras sekeras-kerasnya bukan menerima sebanyak-banyaknya.

“Mengurangkan politik, memperbanyakkan berfikir. Meredakan perselisihan, mengembalikan kesatuan. Oleh yang demikian, jangan risau, jangan gundah dan terkejut jika ada ikhtiar yang akan parti umumkan, sangat asing dan di luar kebiasaan kita,” katanya.

Terakhir ujarnya, apa juga yang akan kepimpinan laksanakan, ia akan mengambil pandangan jauh dan saranan daripada pelbagai pihak. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.