Jadikan Amanat Timbalan Presiden Azimat… UMNO Perlu Berubah Dan Bermuhasabah – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Menteri Besar Pahang merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap agar para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menjadikan amanat Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan sewaktu merasmikan persidangan perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sebagai satu azimat.

Jelasnya, UMNO perlu berubah dan bermuhasabah terutama sekali apabila berhadapan dengan situasi serta iklim politik yang semakin dinamik ini.

“Itu adalah satu ucapan yang sangat dinanti-nantikan oleh para perwakilan sempena perhimpunan sayap. Ianya merupakan satu suntikan semangat dan kita terima hakikat bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu serta perlu bangkit semula.

“Kita tidak ada pilihan lain dan saya fikir para perwakilan perlu digest amanat tersebut untuk dijadikan azimat serta bermuhasabah diri. Kita perlu bertindak daripada sekarang untuk menghadapi PRU ke-15 dan sudah semestinya kita perlu berubah,” katanya kepada UMNO Online.

Menjelang Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, Wan Rosdy turut mengharapkan agar para perwakilan bersidang secara profesional dan tidak mengikut emosi.

“Alhamdulilah, para perwakilan nampak begitu bersemangat, fokus dan menerima kekalahan kita pada PRU ke-15 lalu kerana itu adalah hakikat yang tiada siapa boleh nafikan. That is the reality yang kita harus tempuhi.

“Saya harap mereka dapat bersidang dan berbincang secara profesional dalam usaha pemulihan parti. Jangan emosi dan perlu lebih rasional,” katanya lagi.

Ketiga-tiga sayap UMNO akan bersidang secara serentak dan berasingan dengan Wanita di Dewan Tun Razak 4, Pergerakan Pemuda di Dewan Merdeka serta Pergerakan Puteri di Dewan Tun Dr Ismail.

Perhimpunan ini akan diteruskan pada 13 Januari dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Perhimpunan Agung Khas bagi meminda usul perlembagaan parti.

PAU akan diakhiri dengan sesi penggulungan pada hari Sabtu di Dewan Merdeka dan disertai oleh semua para perwakilan.

Terdahulu PAU 2022 sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember bagaimanapun ditangguhkan kerana bertembung dengan cuti persekolahan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman