Faham Dan Hayati Pasca PRU15, Kembalikan Semula Sokongan Rakyat Kepada UMNO – Muhamad Nur Aizat

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhamad Nur Aizat Noor Azam mengharapkan agar para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dapat menghayati dan memahami perkara sebenar yang berlaku pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Jelasnya, perkara yang menjadi asas utama UMNO sekarang ini adalah bagaimana untuk parti itu terus bergerak ke hadapan dan berusaha mendapatkan semula keyakinan rakyat.

“Melalui ucapan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, ada banyak perkara sebenarnya yang perlu dihayati oleh para perwakilan dalam memahami apa yang telah berlaku pasca PRU ke-15.

“Sudah semestinya bukan perkara mudah untuk lebih tiga juta ahli memahami perkara yang berlaku. Namun, perkara yang lebih penting pada ketika ini adalah bagaimana UMNO nak move forward.

“Bagaimana kita nak mencari titik pertemuan untuk memulakan langkah bagi mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti utama dalam memperjuangkan orang Melayu terutamanya,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau, ahli serta akar umbi perlu mengenepikan sikap menunding jari kepada sesiapa sahaja di atas kekalahan yang berlaku dan melunaskan kesetiaan perjuangan dengan berusaha untuk bangun semula.

“Kita perlu ketepikan sikap menuding jari kepada sesiapa. Ahli dan akar umbi yang memilih untuk kekal setia kepada perjuangan UMNO walaupun parti ini telah kalah, perlu dilunaskan dengan mencari jalan untuk bangkit semula.

“Kita perlu meyakinkan rakyat bahawa UMNO ini adalah sebuah parti yang bersih, boleh memperjuangkan agenda terutamanya melibatkan sara hidup rakyat dan juga bagaimana masa depan orang muda. Inilah perkara yang kita gagal laksanakan pada PRU ke-15.

“Sekarang tibalah masanya untuk kita berhenti menyoal perkara yang telah lepas dan mencari jalan untuk terus maju ke hadapan supaya UMNO tidak pupus, hilang dan dikuburkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhamad Nur Aizat turut berharap agar para perwakilan menggariskan perkara yang boleh diterima oleh rakyat sepanjang persidangan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri berlangsung.

“Rakyat di luar sana sentiasa mendengar dan cakna apa yang bakal disampaikan oleh jurucakap bermula esok di Persidangan sayap-sayap dan kemudian di PAU.

“Jadi saya berharap para perwakilan dan jurucakap, biarlah kita gariskan perkara yang boleh diterima oleh rakyat. Kita tidak boleh lagi mengamalkan budaya ‘membodek’ pemimpin dan mencari kekayaan untuk membolot jawatan. Kali ini adalah PAU untuk kita lihat bagaimana untuk kita maju ke hadapan,” katanya lagi.

Ketiga-tiga sayap UMNO akan bersidang secara serentak dan berasingan dengan Wanita di Dewan Tun Razak 4, Pergerakan Pemuda di Dewan Merdeka serta Pergerakan Puteri di Dewan Tun Dr Ismail.

Terdahulu PAU 2022 sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember bagaimanapun ditangguhkan kerana bertembung dengan cuti persekolahan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.