Kepentingan Negara Jadi Keutamaan UMNO Dalam Pembentukan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Kepentingan negara adalah keutamaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di dalam kerjasama penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Tegas Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, tekad UMNO adalah mahu membawa Malaysia keluar daripada kemelut politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) apabila tidak ada satu parti yang mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan.

Jelasnya, tindakan Perikatan Nasional (PN) tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong menjadikan UMNO berada dalam kedudukan strategik untuk memainkan peranan yang lebih penting dalam pembentukan kerajaan.

“Maka UMNO waktu itu merasa bertanggungjawab untuk tampil dan menjadi penyelesai kepada usaha pembentukan Kerajaan Perpaduan tersebut.

“UMNO yang sekian lama memperjuangkan perpaduan Melayu dan nasional tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan masa depan Malaysia menjadi ‘secondary’.

“Membawa Malaysia keluar daripada kemelut pasca-PRU adalah misi utama UMNO pada ketika itu. Terlalu banyak isu yang mencengkam rakyat saban hari dan kita tidak boleh membiarkan drama politik ini berlarutan sehingga menjejaskan kualiti hidup rakyat,” ujarnya.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini malam ini.

Begitu juga kata Menteri Pertahanan itu, UMNO melihat adunan jemaah menteri kabinet mestilah menggambarkan sifat kemajmukan Malaysia selaras dengan DNAnya iaitu kesederhanaan.

Seterusnya ulas Mohamad, UMNO memerlukan jalan untuk terus memperkukuhkan sokongan untuk parti ekoran kewujudan PN yang berhasrat mengkuburkan UMNO dari sokongan orang Melayu.

“Kita mendapati adalah sangat sukar bekerjasama dengan parti yang kewujudan dan perjuangannya ialah menghapuskan UMNO untuk selama-lamanya.

“Begitu juga, pengalaman kita, bekerjasama dengan Pas. Mereka tidak pernah setia atau ikhlas,” bidasnya lagi.

UMNO katanya banyak mengambil iktibar kesan daripada kerjasama bersama PN sebagaimana ‘Langkah Sheraton’ dan justeru sesuatu yang lebih lestari dan konkrit amat diperlukan.

“Jadi, bila Istana Negara mengusulkan penubuhan Kerajaan Perpaduan pada UMNO, ia adalah solusi yang paling ampuh.

“Bukan sahaja ia dapat memberikan ketembusan kepada kebuntuan politik waktu itu, tetapi juga memberikan UMNO peluang untuk menyumbang secara bermakna.

“Kita juga merasakan bahawa telah tiba masanya untuk kita tidak terbelenggu dengan ideologi parti tertentu dalam saat paling kritikal untuk Malaysia. Yang penting kepada kita, ialah memberi fokus kepada ‘governing’,” ujarnya.

Justeru Mohamad tekankan bahawa keutamaan UMNO ialah kestabilan politik Malaysia dan bukannya idealogi politik rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Walaupun begitu tambah Mohamad lagi, UMNO dan BN merangka perjanjian persefahaman bersama PH di dalam pembentukan kerajaan.

“Kita nyatakan dengan jelas, bahawa perkara-perkara fundamental seperti kedudukan orang Melayu dan bumiputera, Bahasa Melayu, agama Islam dan kedaulatan raja-raja Melayu, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara serta perkara-perkara yang menjadi asas kemajmukan kita mesti dihormati dan dipelihara,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.