Semangat Juang Presiden UMNO Wajar Didukung Untuk Kemudi Parti – Mohamad Najib

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Semangat juang dan kekentalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam menempuh segala ranjau menunjukkan sifat sebenar seorang pejuang yang ikhlas dan tidak mengaku kalah.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohamad Najib Samuri berkata, selayaknya Ahmad Zahid diberi dukungan kuat untuk terus mengemudi bahtera parti.

“Semangat juang dan kekentalan Presiden UMNO dalam menempuh onak duri, serangan musuh bertalu tanpa henti memperlihatkan sisi sebenar seorang pejuang yang ikhlas, berani dan tak mudah mengaku kalah. Apatah lagi membenarkan parti keramat dipimpinnya dijadikan bahan jual beli broker yang rakus.

“Justeru, selayaknya Presiden UMNO diberi dukungan kuat oleh ahli dan pemimpin akar umbi untuk terus mengemudi bahtera UMNO dalam mendepani situasi politik yang penuh mencabar, getir dan dinamik ketika ini.

“Penting agar institusi Presiden dipertahan. Lebih molek jika tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang, supaya UMNO tidak berdepan siri perpecahan yang hanya akan merugikan parti, sekaligus merencatkan perjalanan untuk UMNO bangkit kembali,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, sejak UMNO/BN tewas pada PRU ke-14, musuh-musuh UMNO terus berusaha membunuh perjuangan parti itu secara terang dan senyap.

“UMNO/BN mengalami kekalahan yang lebih buruk dalam PRU ke-15 selepas hanya tinggal 30 kerusi Parlimen saja yang berjaya dipertahan berbanding 54 kerusi Parlimen (UMNO) yang dimenanginya pada PRU ke-14.

“Dikala UMNO sedar kekalahan ini pahit untuk dilalui apatah lagi ditempuhi bagi hari-hari mendatang, namun keputusan PRU ke-15 masih meletakkan peluang buat UMNO dan BN sekali lagi bernafas, merintis jalan kebangkitannya khususnya dalam PRU seterusnya.

“Sejak BN tewas pada PRU ke-14 sampailah ke detik ini, musuh-musuh UMNO terus berusaha membunuh perjuangan UMNO secara terang dan senyap,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, pelbagai strategi telah dirangka untuk menyerang pemimpin UMNO untuk membuatkan orang ramai membenci Presiden dan menolak parti keramat itu.

“Mereka merangka pelbagai strategi untuk memburuk, menyerang tanpa belas kasihan pemimpin-pemimpin UMNO khususnya sosok Presiden UMNO. Pelbagai dakyah songsang dan fitnah direka, dengan matlamat asalkan orang ramai boleh membenci Presiden UMNO, sekaligus akan menolak UMNO.

“Strategi sama inilah yang digunakan terhadap bekas Presiden UMNO ketika UMNO/BN tewas pertama kalinya pada PRU ke-14. Ketika rakyat terus menghukumi UMNO tanpa asas jelas dan belas kasihan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah sedikit pun berundur membiarkan UMNO terus berkubur.

“Beliau teguh dan cekal mengharungi segala bentuk cacian, kejian untuk terus memimpin parti ini, malah tekun merangka jalan untuk memastikan survival UMNO kekal bertahan. Bila masanya tiba, setelah kebenaran sebenar terbongkar nanti, UMNO/BN akan kembali bangkit dan diterima orang ramai,” katanya lagi.

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. – UMNO Online