Kerajaan Perpaduan : Wujudkan Kestabilan Politik, Ketepikan Jurang Perbezaan

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Kestabilan politik harus diwujudkan meskipun Kerajaan Perpaduan dibentuk pada hari ini dianggotai oleh parti-parti politik yang berbeza pendapat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbezaan tersebut harus diketepikan secara tasawuf dengan penuh akhlak yang tinggi mengikut prinsip utama ‘siasah Islamiah’.

“Kita harus berpijak di bumi yang nyata dan mengakui realiti bahawa kestabilan politik harus diwujudkan biarpun kita berbeza pendapat dengan tidak berhasrat untuk merosakkan kestabilan politik di negara ini.

“Maka atas komitmen semua parti politik, walaupun kita berkabilah dengan kabilah yang berbeza, perbezaan tersebut harus diketepikan berdasarkan realiti dihadapi.

“Jika ada perbezaan pendapat, tentu ada kaedah yang harus dilaksanakan secara tasawuf dengan penuh akhlak yang tinggi dan ditangani mengikut prinsip utama ‘siasah Islamiah’,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan selepas merasmikan Majlis Sambutan 40 Tahun dan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Peserta-Peserta FELCRA.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut menyarankan semua parti politik berjanji untuk membangunkan negara menterjemahkannya kembali komitmen tersebut selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Saya turut menyarankan agar selepas PRU ke-15 dan Kerajaan Perpaduan Malaysia telah terbentuk, maka semua parti politik yang manifestonya dahulu mahu membangunkan negara, memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan kestabilan politik harus menterjemahkan kembali komitmen ini.

“Walaupun kita tahu pada 19 Disember nanti akan berlangsung Sidang Khas Dewan Rakyat yang antaranya adalah untuk memberikan keabsahan kepada Kerajaan Perpaduan dan menentukan bagi tempoh satu penggal ini tidak akan terdapat lagi pertukaran kerajaan.

“Pertukaran banyak kerajaan dalam tempoh satu penggal akan menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik dan mengekang pertumbuhan ekonomi negara serta masalah-masalah berkaitan sudah semestinya akan memberi impak kepada rakyat keseluruhannya,” katanya lagi.

Pada Jumaat media melaporkan bahawa lima gabungan parti utama menandatangi Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk membentuk kerajaan gabungan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia.

MoU tersebut ditandatangani oleh pimpinan kanan dari Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik (KDM) dan calon-calon Bebas yang lain.

Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menterjemahkan Permuafakatan Antara Gabungan ini sebagai suatu proses artikulasi terhadap hak-hak yang termaktub di dalam perlembagaan menjadi persetujuan bersama kerana pada peringkat awal gabungan tersebut wujud, terdapat kekhuatiran mengenai hal-hal kedudukan Melayu Islam serta Raja-Raja Melayu yang didaulatkan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.