Terus Bersama BN, Nizar Najib Tekad Jadikan Peramu Jaya Hub Ekonomi Rakyat Pekan

PEKAN, 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya, Datuk Mohd Nizar Mohd Najib berkata misi dan visi utamanya adalah bagi menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat hub ekonomi.

Jelasnya, perkara ini tidak boleh berlaku sekelip mata dan akan mengambil masa untuk mewujudkan hub ekonomi untuk rakyat di Pekan.

“Saya hendak kembangkan industri automotif di Pekan ini dan ianya akan jadi satu daya tarikan terutama sekali untuk menarik pelabur kerana ada banyak lagi pelaburan yang boleh dibuat di sini, malah dapat mewujudkan banyak usahawan tani yang menggunakan teknologi.

“Dalam masa yang sama saya akan berusaha menjadikan kawasan ini sebagai tempat pelancongan dan juga litar lumba kenderaan serta menaik taraf taman tasik Sultan Abu Bakar untuk menarik pengunjung ke sana.

“Insya-Allah saya akan mewujudkan satu pogram untuk tenaga profesional tenaga sekuriti yang sanggup menjadi penaja pelajar-pelajar Negeri Pahang yang berminat dalam teknologi siber. Latih pelajar ini dan selepas enam bulan serap masuk ke syarikat ini,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan berharap pengundi dapat jangan beri peluang kedua pada Pakatan Harapan (PH) yang ternyata gagal melaksanakan tanggungjawab.

“Pengundi pun tahu dalam empat tahun lepas pihak PH mengambil alih kerajaan keadaan negara amat tidak stabil. Mereka diberi peluang memerintah tetapi masih berlagak seperti pembangkang, menakut-nakutkan negara luar mengatakan Malaysia akan bankrap. PH tidak menunaikan janji-janji seperti menghapuskan PTPTN.

“Mereka lebih minat bergaduh sesama sendiri seolah-olah tarik tali siapa yang hendak jadi Perdana Menteri dan PH tersungkur apabila Tun Mahathir meletak jawatan,” ujarnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.