Parti Tak Pernah Desak Campur Tangan Kes Mahkamah – Mohamad

 

IPOH, 23 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menafikan dakwaan bahawa parti terlibat dalam campur tangan melibatkan kes mahkamah.

Beliau malah menyifatkan perkara itu adalah spekulasi dan tidak dikeluarkan secara rasmi oleh parti.

“Kami tidak pernah menyentuh sistem kehakiman mahkamah, kalau ada sesiapa bercakap itu tidak mewakili parti yang secara rasmi adalah dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Tiada siapa minta campur tangan, itu terpulanglah orang speculate, tidak mampu untuk saya menjawabnya… kena tanya dialah siapa yang buat itu.

“Peramal, ahli nujum banyak sekarang ini… tidak ada, parti tidak pernah mendesak untuk campur tangan tapi apa yang kita minta supaya diberikan penghakiman perbicaraan yang adil, itu biasa tidak mencemar atau hina sesiapa,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas mengadakan sesi libat urus bersama Biro Politik Barisan Nasional (BN) Bahagian-bahagian di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, di sini, hari ini.

Mohamad memberikan respon berkenaan ketika disoal media berkenaan dakwaan mengatakan bahawa pertemuan ketua-ketua UMNO bahagian yang diadakan semalam mempunyai hubung kait dengan kes mahkamah yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas Timbalan Pengerusi BN itu lagi, sekiranya parti mahu mencampuri kes tersebut ianya dilakukan ketika di peringkat Mahkamah Tinggi lagi.

“Hendak campur macam mana kerana sudah sampai Mahkamah Persekutuan, kalau hendak campur patutnya di peringkat Mahkamah Tinggi

“Malah kita tidak campur biarpun di Mahkamah Tinggi lagi orang kata kalau UMNO jadi Perdana Menteri, memerintah bahawa UMNO akan melepaskan Najib tapi ini tidak berlaku, sedangkan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih meneruskan perbicaraan,” ujar beliau.

Beliau pada masa sama turut berharap rakyat tidak terpengaruh dengan spekulasi yang tidak benar membabitkan parti.

“Saya minta rakyat untuk tidak terlalu terpengaruh sangat dengan dakyah dan fitnah ‘oh, UMNO kalau menang nanti semua hendak campur tangan’.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO/BN ada campur tangan? Tidak, kes yang melibatkan pemimpin UMNO tidak ada siapa terlibat,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.