PH ‘Desperate’ Cari Isu Untuk Tutup Kesalahan Lampau – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Pakatan Harapan (PH) dilihat sangat terdesak mencari isu bagi mencemarkan imej UMNO/Barisan Nasional (BN) kerana tidak boleh lari dari kenyataan yang mereka telah menipu rakyat ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berpendapat, tindakan mereka adalah untuk menutup kesalahan lampau serta menghasut rakyat membenci UMNO/BN.

“PH sekarang ni dah desperate dan cuba mencari isu kerana mereka tidak boleh lari dari stigma yang dulunya menipu rakyat, melompat parti dan meranapkan ekonomi. Mereka tahu rakyat marah. Jadi, mereka menggunakan isu ini supaya rakyat lupa apa yang telah mereka lakukan serta untuk menghasut rakyat membenci kita macam dulu.

“Beza kita (UMNO/BN) dengan mereka ialah cara kempen itu sendiri. PH ini kempennya penuh dengan negativiti. Kita pula bawa positivisme dalam kempen, lebih berfokuskan kepada apa yang kita nak buat untuk rakyat. Tapi, kita kena juga jawab segala tuduhan yang dilemparkan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Isham, isu yang dilemparkan PH bagi memburukkan UMNO/BN akan berterusan kerana bahang PRU ke-15 sudah semakin terasa.

“Isu-isu ini mesti ada dan tidak akan berhenti. Tapi bagi saya, itu adalah perkara biasa. Macam isu LCS (kapal tempur pesisir), sebenarnya pada tahun 2018 dan 2019 lagi mereka dah buat audit. Itu yang saya cakap, kalau ada penyelewengan semasa audit itu dibuat, kenapa tidak bongkarkan pada tahun 2019 dan 2020? Tiba-tiba sekarang ni dah dekat pilihan raya, isu ini timbul pula.

“Sebab itu kita tidak boleh play decent. Kita kena jawab dan counter segala isu yang mereka bawa sebab akan ada rakyat terpengaruh sekiranya kita lambat. Kalau mereka hasut rakyat, kita kena neutralize balik. Memang banyak kerja yang kita kena buat, tapi itulah realiti yang kita perlu hadapi,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, beliau sangat optimistik UMNO/BN lebih bersedia membawa positiviti dalam politik Malaysia bagi melawan negativiti yang dibawa oleh pihak pembangkang.

“Saya quite optimistic, pada kali ini kita lebih bersedia membawa positiviti dalam politik Malaysia bagi melawan naratif negatif yang dibawa oleh mereka.

“Saya rasa, at the end of the day, rakyat akan nampak keikhlasan dan positiviti yang kita bawa. Insya Allah kita akan berjaya memenangi hati rakyat. I have a good feeling on this,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.