‘No More Drama’, Ahmad Zahid Gesa Bingkas Tangkis Tohmah Secara Berfakta

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) PRU-15 lawan Barisan Nasional (BN) akan terus berusaha mereka-reka propaganda dan tohmahan baharu di media sosial untuk menanam kebencian dalam jiwa rakyat.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menekankan agar seluruh jentera BN perlu bingkas menangkis tohmahan secara berfakta supaya persepsi negatif yang mahu mereka naratifkan dapat diatasi.

“Kita perlu akui antara faktor BN tewas dalam PRU-14 kerana ketidakmampuan kita menguasai platform media sosial. Kita gagal memanfaatkan saluran penyampaian maklumat yang cepat dan mudah itu untuk mengamit keyakinan pengundi terhadap BN.”

Katanya ini berbeza dengan pihak lawan BN pada waktu itu yang memanipulasi sepenuhnya platform berkenaan untuk melancarkan propaganda dan tohmahan mereka.

“Maka kita katakan pada mereka ‘no more drama’. Kini media sosial juga gelanggang BN. Seluruh jentera Wanita, Pemuda dan Puteri BN akan gempur.

“Kali ini kita akan ‘fight’ habis-habisan demi menyelamatkan rakyat dan negara daripada hasutan dan tohmahan mereka ‘with facts’ dan ‘with reality’.

“Justeru, saya berharap seluruh jentera BN memahami apa yang saya maksudkan dengan pendekatan baharu BN pada Konvensyen Wanita BN,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Kata Ahmad Zahid, pendekatan baharu secara hibrid yang melibatkan dua komponen gerak kerja iaitu secara fizikal dan secara maya.

“Kaedah konvensional seperti perjumpaan secara fizikal dan mengedar risalah BN diteruskan, tetapi arena media sosial harus dikuasai.

“Semoga usaha kita untuk memastikan kemakmuran dan kestabilan kembali di Malaysia pada PRU-15 ini diberkati Allah SWT,” katanya.

Beliau memberikan antara tips untuk diaplikasi:

1) Usah terkesan dengan cacian pasukan siber lawan mahu melemahkan mentaliti kita, sebaliknya terus istiqamah kepada fakta dan kebenaran yang ada pada kita.

2) Jangan hanya berkongsi fakta dan kebenaran sesama kita, sebaliknya salurkan ia kepada setiap pengundi termasuk pengundi baharu dan pengundi atas pagar.

3) Tumpukan penyaluran maklumat terhadap laman media sosial yang menjadi tumpuan masyarakat kerana amat penting maklumat itu sampai ke pengetahuan mereka. – UMNO Online