Keutamaan Perkukuh UMNO, Jangan Sekat Demokrasi Dalam Parti – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 16 Ogos – Pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat diingatkan supaya tidak menyekat mana-mana Cawangan untuk bergerak aktif termasuklah menyekat golongan muda dan profesional dari menyertai parti ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, terdapat beberapa kes di beberapa Bahagian yang menyekat cawangan-cawangan UMNO antaranya menyekat cawangan berkenaan dari mengadakan mesyuarat perwakilannya dan mengadakan aktiviti kerana berseteru dengan kepimpinan bahagian.

“Perkara ini ada berlaku di beberapa bahagian disebabkan pemimpin cawangan tidak menyokong kepimpinan Ketua UMNO Bahagian, menyebabkan cawangan tersisih dan tidak dapat mengadakan mesyuarat cawangan serta disekat hanya kerana ingin memperkukuhkan kedudukan sebagai ketua bahagian” katanya ketika berucap merasmikan program Retreat UMNO Negeri Melaka di Hilton Hotel Kota Kinabalu malam kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh dan Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Yakub Khan.

Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata perbuatan menyekat cawangan-cawangan yang berseteru ini bukanlah satu amalan demokrasi yang sihat dalam parti, sebaliknya boleh menjejaskan kekuatan parti.

“Alhamdulilah di Sabah, saya belum menerima laporan kes seperti ini, bagaimanapun sekiranya berlaku tindakan tegas akan dilakukan ini termasuklah menggantung bahagian berkenaan,” jelas Bung.

Bung berkata, pemimpin UMNO perlu mengubah persepsi berkenaan dan memberi keutamaan untuk memperkukuhkan parti demi kepentingan negara.

Beliau seterusnya mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak menjadikan ancaman kedudukan dalam parti sebagai alasan bagi menyekat cawangan dan golongan muda, profesional menyertai parti kerana ia akan merugikan UMNO sendiri.

Menurutnya jika kepimpinan peringkat bahagian dan cawangan sentiasa bekerja keras menjalankan kerja-kerja parti, mereka tidak perlu gusar akan kehilangan jawatan kerana anggota akan terus menyokong mereka.

Mengulas program Retreat UMNO Melaka yang memilih Sabah sebagai lokasi program, Bung berharap pemukiman tersebut akan dapat memberikan sumber inspirasi baharu kepada pemimpin UMNO Melaka untuk memperkukuhkan parti.

“Kita telah mengembalikan maruah UMNO dengan kemenangan besar semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, solidariti perjuangan ini perlu terus dipertingkatkan, saya beharap pemilihan Sabah sebagai lokasi program ini akan memberikan idea baharu kepada pemimpin UMNO Melaka.

“Ini kerana UMNO Sabah mempunyai sejarah perjuangan yang berliku selepas PRU Ke-14 kerana ditinggalkan ramai pemimpin, namun ekoran masih ada pemimpin UMNO yang teguh dengan prinsip perjuangan, maka UMNO Sabah bangkit kembali selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dan PRN ke-16 dan sehingga kini UMNO masih bertapak di Sabah walau ada pihak mendakwa akan terkubur selepas PRU ke-14,” jelas Bung lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.