Kesetiaan, Kerajinan Dan Keikhlasan Bezakan Wanita UMNO/BN Dengan Jentera Parti Lain

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Kesetiaan, kerajinan dan keikhlasan yang ditunjukkan menjadi perbezaan utama Wanita Barisan Nasional (BN) dengan wanita pembangkang, kata Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim.

Jelasnya, Wanita BN telah melaksanakan tanggungjawab mereka serta bersusah senang bersama parti lebih enam dekad lamanya.

“Perbezaan Wanita BN dengan wanita pembangkang adalah kesetiaan, kerajinan serta keikhlasan mereka yang tidak boleh dipertikaikan. Sudah lebih 60 tahun kita melaksanakan tanggungjawab kita dan susah senang bersama parti.

“Jika wanita pembangkang, kita kurang dapat melihat pergerakan mereka sebagaimana kita khususnya dalam Jalinan Rakyat (JR). Saya rasa wanita BN telah membuktikan di setiap Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini bahawa kita adalah jentera terpenting parti.

“Pada tahun 2019 selepas kita kalah, dalam akhbar The Star ada seorang penulis menyatakan bahawa don’t mess with Wanita UMNO ladies. Itu menunjukkan bahawa parti pembangkang juga agak risau dan takut kepada Wanita UMNO dan Wanita BN. Jelas menunjukkan bahawa kita antara frontliners yang kukuh dan boleh menjadi shield kepada parti,” katanya kepada UMNO Online berhubung kejayaan dalam pelaksanaan Konvensyen Wanita BN pada Ahad.

Dalam pada itu, Norliza turut melahirkan rasa syukur beliau di atas pelaksanaan Konvensyen Wanita BN yang dilihat berjaya menaikkan semangat ahli dan juga pemimpin Wanita BN di peringkat akar umbi.

“Pertamanya, kita berjaya menaikkan semangat ahli dan juga pemimpin Wanita BN di peringkat akar umbi. Wanita BN di peringkat negeri turut menyatakan resolusi masing-masing yang mana saya rasa ianya penting untuk dilihat oleh pucuk pimpinan.

“Kalau dahulu mungkin kita buat manifesto atau resolusi dari atas ke bawah. Tapi, pada kali ini kita bawakan dari bawah ke atas. Jadi, pucuk pimpinan dapat menilai dan boleh mengambil mana yang mereka rasa bersesuaian.

“Bagi saya, resolusi yang dibawakan setiap negeri adalah sangat baik dan ianya menitikberatkan elemen-elemen yang memperjuangkan rakyat. Rakyat di bawah akan merasa bahawa Wanita BN itu melihat kepada kebajikan dan ekonomi negara. Jadi, banyak yang akan kita bantu kepada rakyat khususnya kaum wanita,” katanya lagi.

Dilaporkan, menerusi konvensyen terbabit, Wanita BN mengemukakan enam resolusi yang memberi fokus kepada isu rakyat untuk dicadangkan sebagai tawaran baharu dalam aku janji BN pada PRU-15. Ia merangkumi sektor pendidikan, pengajian tinggi, teknologi maklumat (IT) dan teknologi, wanita dalam pentadbiran, kebajikan dan agama, keselamatan dan sosial serta ekonomi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.