BN Puas Hati Kesiapsiagaan PRU, Perhalusi Permohonan Parti Lain, Zahida Dilantik Ketua Puteri BN

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Barisan Nasional (BN) berpuashati dengan tahap kesiapsiagaan yang sedang dibuat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dan sedang memperhalusi permohonan beberapa buah parti untuk menjadi komponen BN.

Demikian makluman dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selepas Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Tertinggi BN malam tadi.

Katanya, melalui mesyuarat terbabit yang yang dihadiri oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Presiden-Presiden parti komponen dan ahli-ahli jawatankuasa Dewan Tertinggi BN telah memutuskan beberapa perkara.

“Mesyuarat dimaklumkan tentang persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 di semua peringkat dan komponen Barisan Nasional.

“Dewan Tertinggi berpuashati dengan tahap kesiapsiagaan yang sedang dijalankan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seluruh negara.

“Mesyuarat juga turut membincangkan permohonan beberapa buah parti untuk menjadi komponen BN. Dewan Tertinggi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada parti-parti tersebut atas minat dan kesediaan mereka untuk bersama-sama dengan BN. Kesemua permohonan tersebut sedang diperhalusi oleh pihak urus setia BN.”

Katanya lagi Dewan Tertinggi juga bersetuju mewujudkan Puteri BN bagi menyelaras pergerakan wanita muda di semua parti-parti komponen.

“Sehubungan itu, Datuk Zahida Zarik Khan dilantik sebagai Ketua Puteri BN.

“Selaras dengan Perlembagaan Barisan Nasional, Fasal 8.3.E, Mesyuarat Agung Dewan Tertinggi mengesahkan penyambungan pelantikan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bagi tempoh dua tahun lagi,” katanya lagi. – UMNO Online

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2022/08/15082022-Kenyataan-Media-SUA.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.