Wanita UMNO/BN Heroin Terbaik Parti… Penghubung Pemimpin Dan Rakyat

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Wanita Barisan Nasional (BN) adalah heroin serta aset terbaik parti yang menjadi penghubung antara pemimpin dan rakyat di akar umbi.

Pengarah Konvensyen Wanita BN, Datuk Rosni Sohar berkata, Wanita BN bukan sahaja turun ke kawasan desa, bahkan turut turun ke ceruk dapur rakyat bagi mendalami susah senang mereka.

“Dari ceruk dapur rakyat inilah, maka kita tahu susah senang rakyat. Tahu dan ambil berat kesusahan rakyat, ada makanan ataupun tidak, sihat atau sakit, susah atau senang. Inilah pendekatan Wanita BN yang tulus dan ikhlas mendepani dan menjuarai masalah rakyat.

“Demi negara, Wanita BN berkorban jiwa dan raga, masa dan tenaga, berpanas dan berhujan, siang dan malam, demi perjuangan untuk rakyat serta kestabilan BN,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Konvensyen Wanita BN pada Ahad.

Beliau yang juga setiausaha Wanita UMNO itu turut berkata, Wanita BN tidak memperjuangkan mengenai nasib dan kepentingan para pemimpin namun terus berjuang demi rakyat.

“Kita Wanita BN wajib sentiasa berikhtiar untuk memastikan segala hak dan kepentingan wanita diberikan perhatian khusus dan mendapat tempat sewajarnya dalam membuat keputusan, politik, pentadbiran, pendidikan, ekonomi, apatah lagi agama, sosial serta semua bidang yang diceburi.

“Saya harap apa sahaja dapatan yang kita peroleh akan dapat dikumpulkan dan diterima oleh pucuk pimpinan dalam merangka strategi bagi memperkasa wanita secara inklusif,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.