Waspada Tingkah PH… Demonstrasi Rosakkan Keamanan Negara – Razlan

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Selepas manifesto yang penuh dengan penipuan dan kegagalan menunaikan janji pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kali ini Pakatan Harapan (PH) bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) yang ‘dibeli’ dikatakan bakal mengadakan demontrasi Sabtu ini, demikian maklum Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Menurutnya, demontrasi ini bukannya kali pertama diadakan oleh PH dan terbukti lebih banyak keburukan yang tercetus akibat daripadanya.

“Kita tahu ‘Raja Hasut’ pun sudah keluar iaitu Rafizi Ramli dan perlu tengok apakah sebenarnya kebaikan dan keburukan yang akan rakyat hadapi apabila turut serta dalam demo ini. Rakyat perlu diberi kesenangan dan ketenangan untuk hidup seperti biasa maka tolonglah faham terutamanya mana-mana NGO bahawa kehendak rakyat adalah mahu teruskan hidup.

“Perlu ingat semuanya telah dipergunakan oleh Rafizi dan PH. Pada suatu ketika dulu semua penyokong PH telah digembleng hinggakan mereka berdemo di Dataran Merdeka atas macam-macam alasan yang akhirnya semua itu telah dibakul sampahkan oleh PH apabila sepanjang 22 bulan menerajui kerajaan.

“Saya harap rakyat dapat berfikiran secara terbuka. Bantah bukan tidak boleh bantah tapi kali ini kena bantah mereka yang hendak buat demo… kita bantah kepada mereka yang halu tujunya sebenarnya amat jauh dengan realiti yang diperjuangkan,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Tambah Razlan, tentunya rakyat dapat melihat kepincangan yang PH lakukan sepanjang 22 bulan memerintah negara.

“Saya seru kepada semua rakyat Malaysia… tengok sendiri apa yang telah mereka lakukan sepanjang 22 bulan ini dan biarpun NGO yang berada di depan mereka ini namun sebenarnya belakangnya adalah PH.

“Dulunya cerita pasal barang naik dan sekarang ni nak cerita pasal LCS. Siri demo ini memang dijangka apabila hendak dekat pilihan raya ini akan ada banyak lagi demo-demo kononnya kepentingan rakyat tapi ini adalah perkara yang merugikan negara,” katanya.

Seterusnya kata Razlan lagi, rakyat sekarang ini sedang memperbaiki kehidupan setelah dua tahun negara ini dilanda COVID-19.

“Rakyat sekarang ini tengah menyelesaikan isu COVID-19 dan tengah mencari kerja serta mengharapkan adanya kegiatan ekonomi dapat digiatkan lagi di Ibu Kota tetapi dengan adanya demo kecil-kecilan ini sebenarnya telah menjadi satu kekangan bagi rakyat Malaysia kembali kepada kehidupan seperti biasa sebelum ini,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.