PH Sinonim Sebagai Pembangkang Agresif, Mahir Dalam Adu Domba – Mustapa

SEPUTEH, 15 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff berpandangan sudah menjadi kebiasaan untuk Pakatan Harapan (PH) melakukan adu domba apabila menghampiri Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya, PH sinonim dengan sikap pembangkang yang agresif kerana sering memainkan isu-isu tertentu untuk dijadikan modal bagi menyerang pihak lawan mereka terutama Barisan Nasional (BN).

“Pembangkang memang agresif sebab itulah kerja dia, selama 60 tahun lebih telah pun berada dalam senario sebagai parti yang sentiasa mengamalkan fitnah, adu domba menghasut orang.

“Dia tidak ada kemahiran untuk mentadbir kerana selama ini berada dalam keadaan yang lain kemudian apabila menjadi pemerintah selama 22 bulan mereka gagal menguruskan kerajaan jadi cuba untuk letakkan kegagalan itu kepada orang lain.

“Contoh isu projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) kalau rasa salah dia kena tegur, ambil tindakan dan pecat semasa dalam pentadbiran tetapi tak buat… ini adalah modal PH dahulu guna 1Malaysia Development Bhd (1MDB)… sekarang guna isu ini.

“Dia rasa mungkin PRU tidak lama lagi sebab itu dia serang, kalau dia rasa (PRU) lambat lagi saya rasa dia slow down dan tunggu tempoh ,” katanya.

Mustapa berkata demikian selepas ditemui pada pada Bengkel Pemantapan Jentera Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Kompleks Dewan Tun Ghafar Baba di Seputeh, pada Sabtu.

Turut hadir adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ketua Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan serta kepimpinan lain.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata strategi yang dilakukan PH ini hanyalah bertujuan untuk meneruskan kelangsungan politik mereka.

Bagaimanapun Mustapa percaya dengan kebijaksanaan rakyat dalam menilai helah tersebut kerana mengambil pengajaran daripada penipuan pada PRU-14 yang lalu.

“Hari ini tindakan mereka hanya untuk kelangsungan politik dan saya yakin apa yang cuba dihasut oleh pembangkang saya rasa rakyat faham bagaimana perkara sebenar,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.