Kredibiliti UMNO/ BN Semakin Ke Depan, Teruskan Kerja Kuat Menuju PRU15 – Shahar

BENTONG, 15 Ogos – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahar Abdullah berpandangan kredibiliti dan integriti UMNO/Barisan Nasional (BN) semakin ke hadapan berbanding pihak pembangkang yang tidak memahami kehendak rakyat.

Namun katanya, UMNO/BN perlu terus kerja kuat bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kerana dalam sistem demokrasi sekiranya parti yang bertanding mengatasi satu undi dari pihak lawan makanya parti tersebut akan menang dalam pilihan raya.

“Kalau nak melawan orang kita kena tahu strategi mereka. Kalau kita hendak memenangi satu pertandingan bukannya sama ada kita kuat atau pihak lawan kuat. Sebenarnya kita kena lebih daripada apa yang pihak lawan buat. Kalau kita faham sistem demokrasi menang satu undi bermakna kita akan menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pemukiman Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Jumaat.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Bendahari Pemuda UMNO, Johari Yazid, Ketua Penerangan Pemuda UMNO seluruh negeri dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO bahagian-bahagian.

Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berharap jentera Penerangan Pemuda UMNO dapat memberikan kekuatan dan saingan pada pihak lawan dengan menyajikan fakta benar.

“Kalau kita nak menang pilihan raya maka kita harus lebih sikit daripada mereka dan pastikan berada di hadapan.

“Saya harap sangat persepsi mengatasi dari mimpi. Dulu lain sekarang lain, dulu tidak ada pengundi automatik,sekarang pengundi automatik yang akan menentukan kita. Dulu kita kena aturkan orang daftar mengundi sekarang sudah tidak perlu lagi,” katanya lagi.

Tegasnya, paling mustahak tugas jentera Penerangan Pemuda UMNO adalah mengubahkan pendirian rakyat yang ekstrim dengan pembangkang agar mereka mengundi UMNO/BN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.