‘Kerajaan Kedah Sejahtera’ Tidak Halang Pertunjukan Fesyen Menjolok Mata?

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Kerajaan Negeri Kedah yang terus membisu berhubung kekecohan yang berlaku pada minggu lalu tentang kemunculan seorang tetamu berpakaian melampau seksi dan menjolok mata semasa Minggu Fesyen Kedah menimbulkan seribu satu persoalan.

Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata dalih yang diberikan bukan sahaja bercanggah-canggah dan tidak menjawab isu malah menimbulkan pula lebih banyak persoalan.

Soal beliau adakah pasti pihak penganjur tidak dapat kebenaran bertulis daripada pihak kerajaan tempatan, dan persoalan yang sama kerajaan tempatan ini dibawah seliaan siapa?

“Saya yakin pihak penganjur tidak akan teruskan sekiranya tidak mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa tempatan? Isu ini menjadi panas apabila muncul seorang lelaki yang nak jadi perempuan muncul dengan keadaan ‘topless’, tapi bagi saya isu yang lebih besar, adakah kerajaan negeri ini ‘ok’ dengan penganjuran pertunjukan fesyen yang dedah sini dan sana? Bagi saya pendirian dan prinsip ini kurang jelas.

“Rakyat Kedah yang kurang selesa dengan isu ini perlu mendapat penjelasan mengenai apa yang berlaku, dan apa tindakan untuk mencegah kekhilafan ini pada masa akan datang?

“Adakah perlu satu garis panduan baru penganjuran program berbentuk hiburan dsbnya? sbb ‘Kerajaan Kedah Sejahtera’ ini diibaratkan kerajaan ‘Serambi Mekah Kedua’ selepas Kelantan, sudah tentunya apa yang berlaku sedikit sebanyak menganggu imej yang cuba diwujudkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambah Shaiful lagi, Kerajaan negeri perlu jujur dengan bercakap benar, umum fakta sebetulnya, cakap serupa bikin dan kekal berprinsip.

“Oleh yang demikian Kerajaan Negeri perlu tampil dan dedahkan, selepas pengumuman mengharamkan judi, berapa buah premis judi yang telah ditutup dan berapa lagi yang masih beroperasi?

“Jangan tunjuk kita ini lebih baik daripada orang lain dengan hanya umum ‘mengharamkan judi’, hakikatnya kedai-kedai judi dan mesin slot masih banyak dan terus beroperasi, kena cakap serupa bikin, mentadbir negeri bukan hanya sekadar pengumuman haramkan itu dan ini, hasil ratusan juta, atau pelaburan yang belum tentu nilai berbilion-bilion.

“Jujurnya, rakyat Kedah perlu diberi penjelasan yang sewajarnya, antara sifat sebenar seorang pemimpin Islam dan kerajaan Islam adalah bercakap benar dan konsisten, dan kerajaan ini tidak semata-mata laksanakan sesuatu pendekatan itu semata-mata nak dilihat bagus ataupun hebat, sebaliknya benar-benar memberikan yang terbaik untuk rakyat,” tambahnya. – UMNO Online