Jadikan Mainan Politik Persepsi PRU Lalu Sebagai Pengajaran Bermakna – Norliza

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Rakyat khususnya pengundi di negara ini diingatkan agar tidak mudah terjebak dengan mainan politik persepsi sepertimana pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu apabila pelbagai perkara tidak masuk akal  bertebaran dalam usaha menjatuhkan musuh politik.

Bagi Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim pada waktu berkenaan UMNO/Barisan Nasional (BN) menjadi tumpuan dengan mainan persepsi yang pelbagai oleh pihak lawan dalam usaha meracuni pemikiran rakyat agar menolak parti berkenaan.

“Pada waktu itu kita telah mentadbir negara lebih 60 tahun dan dianggap terbaik dalam pentadbiran negara, namun gara-gara mainan politik persepsi segala-galanya berubah. Hari ini kita belajar bahawa persepsi seumpama itu perlu diatasi.

“Keduanya rakyat telah melalui zaman kesukaran semasa 22 bulan pada zaman Pakatan Harapan (PH), dapat membuat penilaian tersendiri bagaimana pemerintahan parti lain termasuklah Perikatan Nasional (PN) dan seterusnya kerajaan semasa hari ini… mereka telah melihat dan buat perbandingan malah saya percaya mereka turut tahu bukan semua persepsi yang ditimbulkan akan membawa kebaikan,” katanya kepada UMNO-Online.

Norliza yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seterusnya menambah atas kesedaran itu jugalah bagaimana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor BN semakin menyerlah atas kesedaran dalam dunia tanpa sempadan nilai berita mahupun apa jua perkara yang ditimbulkan perlulah dibuat penelitian sewajarnya.

“Kita perlu tahu secara holistik atau secara keseluruhan apa yang kerajaan sedang buat untuk kepentingan rakyat. Mainan persepsi dulu dah dibuat dan menjatuhkan kerajaan pada waktu itu hinggakan rakyat hadapi kesukaran disebabkan kerajaan yang tidak kukuh.

“PRU akan datang, kita percaya rakyat semakin matang dan setiap apa isu yang dibangkitkan perlu dikaji dan bertanya… biarlah kita lihat daripada semua aspek supaya kita tidak buat keputusan yang salah.

“Bagi saya sekarang kita hadapi inflasi bukan sahaja di Malaysia tetapi juga seluruh dunia. Untuk kita atasi waktu kesukaran ini adalah penting sebuah kerajaan yang dominan… jadi kita jangan rosakkan peluang ini.”

Jelasnya, kali ini rakyat perlu memilih sebuah kerajaan yang dominan dan sudah pasti BN menawarkan satu ‘report card’ yang baik.

“Walaupun kita akui ada kelemahan, namun di sebalik kelemahan itu kita ada kekuatan.

“BN adalah pilihan yang terbaik dengan misi serta visi parti yang mengutamakan rakyat. Tengok di Johor dan Melaka tema kestabilan… kita perlu sentiasa ingat dan bagi saya negara yang politiknya stabil maka ekonomi secara langsung akan naik dan pelabur asing akan mula masuk… jadi kadar inflasi yang dihadapi seluruh dunia hari ini insya-Allah kita akan dapat lalui dengan lebih mudah,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.